
KUALA LUMPUR - Hasrat seorang lelaki untuk mendapatkan wang hasil jualan hartanah berjumlah RM590,000 tidak kesampaian selepas tuntutannya ditolak Mahkamah Sesyen Besut, Terengganu hari ini.
Plaintif yang mendakwa sebagai pentadbir harta pusaka bapanya memfailkan saman itu ke atas jutawan hartanah terkenal, Datuk Mohamad Azlan Abdullah.
Menerusi perbicaraan lima hari itu, mahkamah juga memutuskan wang berkenaan adalah milik Mohamad Azlan atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin.
Kes terbabit dikendalikan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud dan melibatkan lima saksi.
Ahmad Fadhli melalui penghakimannya berkata, plaintif tidak memiliki sebarang asas dari aspek perundangan untuk menuntut wang terbabit.
Menurut beliau, surat pentadbir harta pusaka itu dengan jelas membuktikan bahawa tiada sebarang penyataan yang menunjukkan bahawa wang hasil jualan tersebut adalah sebahagian daripada harta pusaka si mati.
“Dalam transaksi itu, plaintif tidak terlibat dan wang jualan telah diserahkan kepada defendan atas arahan si mati sendiri.
“Ia sebagai pertukaran jualan hartanah antara defendan dan si mati semasa hayatnya, disokong dengan surat akuan yang mengesahkan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang tuntutan terhadap wang tersebut.
“Mahkamah dengan ini menolak permohonan plaintif, Shahruldi Mahafiz Ramli dan mengarahkan Shahruldi Mahafiz Ramli membayar kos sebanyak RM15,000 kepada defendan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Azlan, Fahmi Adilah ketika menghubungi Getaran berkata, keputusan mahkamah itu telah membersihkab nama baik anak guamnya yang sebelum ini dicemari pelbagai tuduhan tidak berasas.
Fahmi yang berkhidmat di Tetuan Zahid Ahmad & Associates berkata, keputusan terbabit juga membuktikan kesahihan urusan jual beli hartanah tersebut.
Katanya, plaintif sejak isu berkenaan timbul beberapa tahun lalu, telah menuduh Azlan sebagai penipu yang menyeleweng wang hasil jualan hartanah Allahyarham bapanya.
Tuduhan berkenaan tegas Fahmi, menyebabkan reputasi anak guamnya sebagai seorang ahli perniagaan terjejas dengan begitu teruk.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila isu ini disebarkan pula dalam media sosial, menyebabkan anak guam saya dipalit pelbagai fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai ahli perniagaan hartanah yang meningkat naik.
“Untuk makluman, si mati (bapa plaintif) sepanjang hayatnya tidak pernah membangkitkan sebarang isu atau membuat tuntutan berhubung transaksi tersebut. Mahkamah mengambil kira semua bukti, termasuk surat akuan si mati yang mengesahkan wang hasil jualan tersebut memang diserahkan kepada anak guam saya atas persetujuan bersama,” katanya.
Jelas Fahmi, keputusan hari ini sememangnya amat ditunggu-tunggu kerana ia adalah bukti bahawa anak guamnya tidak pernah menipu atau menyeleweng wang seperti didakwa.
“Anak guam saya sangat gembira dengan keputusan yang telah menamatkan pertikaian undang-undang selain mengesahkan beliau berhak sepenuhnya ke atas wang hasil jualan hartanah berkenaan,” katanya. - Getaran, 25 Mac 2025
