hamden06/11/2026 - 11:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menganugerahkan Kontrak Utama Awam 2 (CMC2) Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM2.69 bilion kepada usaha sama China Communications Construction Company, TRC Construction dan Ufuk Semarak (CCCC-TRC-Ufuk JV).
Kontrak Utama Awam 2 membabitkan pembinaan jajaran sepanjang kira-kira 5.5 kilometer (km) dari Macallum di Pulau Pinang ke Penang Sentral di Seberang Perai.
Usaha sama berkenaan akan melaksanakan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan dengan komponen utama projek itu ialah pembinaan jambatan merentasi laut sepanjang 3.05km, termasuk rentang navigasi bagi membolehkan pergerakan kapal ke pelabuhan Prai dan Butterworth tidak terjejas.
Sambungan berkenaan akan menyediakan perkhidmatan rel secara langsung antara Pulau Pinang dengan Seberang Perai, selain menghubungkan penumpang kepada hab pengangkutan pelbagai mod Penang Sentral untuk pertukaran kepada perkhidmatan KTM, feri dan bas.
Apabila siap, perjalanan antara Komtar dengan Penang Sentral dijangka mengambil masa kira-kira lapan minit.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, penganugerahan kontrak CMC2 membawa Pulau Pinang selangkah lebih dekat ke arah mewujudkan rangkaian perhubungan rel yang lancar antara pulau dengan tanah besar.
Beliau berkata, pelanjutan laluan itu mencerminkan visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya pelaburan berskala besar memberikan manfaat kepada masyarakat di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.
Menurutnya, projek itu bukan sahaja bertujuan menyediakan infrastruktur pengangkutan, malah memacu pembangunan ekonomi yang lebih inklusif serta membuka peluang baharu kepada masyarakat.
"Dengan CMC2 kini dianugerahkan, kita sedang mengambil langkah penting untuk merealisasikan aspirasi itu.
"Tanggungjawab kita bukan sekadar menyiapkan infrastruktur, tetapi juga memastikan manfaat berkekalan yang dijanjikannya dapat direalisasikan," katanya dalam kenyataan.
MRT Corp berkata, pembinaan LRT Laluan Mutiara kini mencapai kemajuan sebanyak 16% dan kekal mengikut jadual.
Pelan pengurusan trafik menyeluruh turut dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.
Sebelum ini, pada Ogos lalu, MRT Corp menganugerahkan kontrak sistem secara turnkey bernilai RM3.03 bilion bagi projek LRT Laluan Mutiara kepada usaha sama antara Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dengan Theta Edge Bhd.
Penganugerahan kontrak sistem itu membolehkan kerja-kerja reka bentuk dan integrasi sistem rel diteruskan seiring dengan pembinaan kerja-kerja awam, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian dalam pembangunan sistem rel metro pertama Pulau Pinang. - DagangNews.com

