Laluan LRT Mutiara rentasi perairan Selat Pulau Pinang mula dibina 3Q27, kata Exco negeri

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Laluan LRT Mutiara rentasi perairan Selat Pulau Pinang mula dibina 3Q27, kata Exco negeri Image from: Laluan LRT Mutiara rentasi perairan Selat Pulau Pinang mula dibina 3Q27, kata Exco negeri amree05/11/2026 - 12:00 Foto kredit MRT Corp Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov — Penduduk Pulau Pinang bakal menikmati pengangkutan rel lebih baik antara pulau dan tanah besar apabila pembinaan laluan LRT Mutiara yang menghubungkan stesen Macallum di George Town ke Penang Sentral di Butterworth dijadualkan bermula pada suku ketiga 2027.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu turut meliputi pembinaan jambatan marin merentasi Selat Pulau Pinang sepanjang 5.5 kilometer (km), sekali gus menjadi komponen penting yang menghubungkan dua kawasan tersebut.

 

Ujar beliau lagi, proses penilaian tender bagi pembinaan jajaran berkenaan kini giat dilaksanakan oleh MRT Corp selaku agensi pelaksana projek mega tersebut dan dijangka dapat selesai pada bulan ini. LRT Mutiara mengandungi sejumlah 20 stesen dengan jarak keseluruhan sejauh 29.67 km.

 

"Kerja pembinaan akan dimulakan selepas pelantikan kontraktor utama, dengan kerja-kerja awalan dilaksanakan sebelum memasuki fasa pembinaan utama termasuk jambatan marin merentasi Selat Pulau Pinang," jelas beliau dan memberi jaminan ia tidak mengganggu operasi perkapalan di pelabuhan.

 

Zairil berkata demikian menerusi jawapan bertulis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, sebagai menjawab pertanyaan Kumaran Krishnan (Pakatan Harapan-Bagan Dalam) mengenai perkembangan semasa pembinaan laluan LRT ke Seberang Perai, khususnya ke stesen Penang Sentral.

 

Selat Pulau Pinang_Wikipedia
Selat Pulau Pinang yang memisahkan George Town di bahagian pulau (atas) dan Butterworth di bahagian tanah besar (bawah). - Foto kredit Wikipedia

 

Jajaran Macallum-Penang Sentral yang dimuktamadkan itu ujar beliau, akan mempunyai dua stesen utama iaitu di Macallum dan Penang Sentral, manakala stesen Bagan Luar di Butterworth ditetapkan sebagai stesen sementara bagi membolehkan kemungkinan fasa perluasan laluan LRT Mutiara pada masa depan.

 

Keseluruhan jajaran di perairan berkenaan disasarkan siap menjelang Disember 2031, selari dengan penyempurnaan laluan yang menghubungkan Silicon Island ke Komtar di bahagian pulau. MRT Corp menjangka sistem rel ringan moden tersebut dapat mula beroperasi penuh pada akhir tahun 2031.

 

"Sebagai sistem transit metro bersepadu yang pertama seumpamanya di wilayah utara Semenanjung Malaysia, projek itu dijangka meningkatkan hubungan pengangkutan antara Pulau Pinang dengan tanah besar, Seberang Perai selain memperluas akses kemudahan pengangkutan awam," tambah Zairil.

 

Pelaksanaan projek berkenaan turut dijangka membantu mengurangkan masalah kesesakan serius lalu lintas serta menyokong pergerakan penduduk dan aktiviti ekonomi antara kedua-dua kawasan yang dihubungkan menerusi dua jambatan selain perkhidmatan feri untuk pejalan kaki dan motosikal.

 

Projek berkenaan dianggarkan bernilai RM16.8 bilion sebagai siling bajet dengan 149 subkontraktor serta pembekal tempatan terlibat di bawah pakej kerja kejuruteraan sivil pertama berjumlah RM397 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved