
KUALA LUMPUR 19 Dis – Usahasama antara Gadang Holdings Bhd dan Hotrend Corporation Sdn Bhd menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 25 tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd bagi pembangunan loji fotovoltaik (PV) solar berskala besar berkapasiti 15 megawatt arus ulang alik (MWac) di Tawau, Sabah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gadang memaklumkan PPA itu dimeterai oleh Tenaga Aspirasi Sdn Bhd, sebuah syarikat projek yang 60% dimiliki oleh anak syarikat milik penuhnya, Regional Utilities Sdn Bhd, manakala baki 40% dipegang oleh Hotrend.
Di bawah perjanjian berkenaan, Tenaga Aspirasi akan mereka bentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan solar tersebut, yang akan disambungkan ke rangkaian pengagihan voltan sederhana Sabah Electricity di pencawang pengagihan utama Kubota.
Menurut makluman itu, PPA itu menetapkan obligasi Tenaga Aspirasi dan Sabah Electricity dalam urusan penjualan dan pembelian tenaga elektrik yang dijana oleh loji berkenaan untuk tempoh 25 tahun bermula dari tarikh operasi komersial, yang dijangka pada 30 Nov 2026.
Pada Disember tahun lalu, Suruhanjaya Tenaga Sabah mengeluarkan surat pemberitahuan (LON) kepada usaha sama Gadang-Hotrend, yang memberikan projek solar Tawau itu selepas proses pembidaan kompetitif bagi pembangunan LSS di negeri berkenaan.
LON tersebut mensyaratkan usaha sama berkenaan memenuhi beberapa keperluan pematuhan, termasuk penyerahan dan pelaksanaan dokumen projek bagi mengesahkan penerimaan anugerah.
Selain Gadang, dua syarikat tersenarai lain turut memenangi projek LSS Sabah, iaitu Nestcon Bhd yang memperoleh kontrak bagi membangunkan loji PV berkapasiti keseluruhan 18.99MWac di Kimanis dan Tawau, serta Coastal Contracts Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya Coastal Power Holdings Sdn Bhd, yang mengetuai konsortium bagi membangunkan loji PV berkapasiti 15MWac di pantai timur Sabah. - DagangNews.com

