Samaiden meterai SPPA dengan TNB bangunkan loji solar 99.99 MW PETRA 5+ di Segamat

LocalBusiness & Finance
19 Dec 2025 • 3:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Samaiden meterai SPPA dengan TNB bangunkan loji solar 99.99 MW PETRA 5+ di Segamat
image is not available
liza19/12/2025 - 15:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – Samaiden Group Berhad melalui anak syarikatnya, Legasi Suria Selatan Sdn. Bhd (LSSSB) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dengan Tenaga Nasional Berhad bagi membangunkan operasi loji tenaga solar fotovoltaik di bawah Program Solar Berskala Besar  Pusingan Kelima Tambahan (PETRA 5+).

 

LSSSB, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki 70% oleh Samaiden Sdn Bhd akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara loji penjanaan tenaga solar dengan kapasiti 99.99 MWac di Segamat, Johor. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Samaiden berkata tarikh operasi komersial yang dijadualkan adalah pada 29 Februari 2028.

 

“Sepanjang tempoh SPPA, TNB akan membeli semua tenaga bersih yang dihasilkan oleh loji tersebut selama 21 tahun, selaras dengan terma dan syarat yang dipersetujui dalam perjanjian itu,” katanya.

 

Samaiden menyatakan SPPA ini dijangka tidak memberi impak ketara kepada aset bersih dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. 

 

Bagaimanapun, syarikat menjangka sumbangan pendapatan positif daripada loji ini bermula dari tarikh operasi komersial bagi tempoh 21 tahun.

 

Lembaga Pengarah Samaiden menegaskan tiada sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa berkaitan loji dan langkah mitigasi akan diambil sekiranya ia berlaku.

 

Tiada pengarah atau pemegang saham utama Samaiden, atau individu berkaitan, mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam SPPA ini.

 

Lembaga pengarah Samaiden berpendapat bahawa pelaksanaan SPPA adalah demi kepentingan terbaik syarikat. Perjanjian ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan.- DagangNews.com

Terkini standard