
KUALA LUMPUR - Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan budaya, tetapi lambang kesyukuran, perpaduan dan kekuatan kebersamaan dalam masyarakat majmuk di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Pesta Kaamatan sama seperti perayaan lain, adalah manifestasi kepada kepelbagaian kaum dan kekayaan budaya masyarakat di Malaysia.
“Sesuai dengan tema perayaan Pesta Kaamatan 2026 : Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian, ia menggambarkan hidup yang aman harmoni tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, semangat kerjasama adalah amat penting, khususnya ketika negara berdepan pelbagai cabaran global semasa seperti ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta krisis tenaga dan rantaian bekalan, nilai kebersamaan dan semangat kerjasama.
“Semangat ini adalah teras kekuatan rakyat Malaysia dalam mengharungi setiap cabaran, demi memastikan negara kekal stabil, berdaya saing dan lestari,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Fadillah turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus khususnya di Sabah, yang meraikan perayaan pesta menuai ini pada 30 dan 31 Mei setiap tahun.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa keberkatan, kesejahteraan dan memperkukuh lagi semangat kebersamaan serta kasih sayang sesama rakyat Malaysia. Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan!” katanya. - Getaran, 30 Mei 2026






