Korban lembu mudah, korban nafsu susah

Health & FitnessFood
29 May 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Korban lembu mudah, korban nafsu susah
Aidiladha adalah tentang kemenangan mengawal diri, bukannya medan melampiaskan nafsu makan sehingga memudaratkan diri sendiri. Gambar hiasan

AIDILADHA bukan sekadar perayaan tahunan umat Islam. Lebih daripada itu, ia seperti ‘universiti kehidupan’ yang mengajar kita tentang erti pengorbanan, kasih sayang dan kepatuhan kepada ALLAH SWT.

Korban bukan sekadar penyembelihan haiwan tetapi ‘simbol pembersihan' sifat buruk dalam diri termasuk menundukkan ego, membuang sikap tamak dan mengawal nafsu yang sering menguasai diri.

Sayangnya, dalam kesibukan kita menguruskan agihan lembu korban, ada satu pengorbanan besar yang kita sering buat-buat lupa. Apa lagi kalau bukan korban nafsu makan sendiri.

Merak Jalanan perhatikan ramai jadikan musim perayaan ini sebagai 'lesen besar' untuk makan tanpa batas. Kononnya setahun sekali, takkan nak tengok sahaja?

Dari pagi hingga ke malam, semua menu berasaskan daging. Ada rendang daging, sup tulang, daging masak kicap, daging goreng kunyit, daging masak lemak cili api, kari daging dan macam-macam jenis lagi.

Lemak, bersantan, bergoreng, memang lengkap satu pakej. Kalau dibedal tiga pinggan sehari, alamatnya bukan setakat berat badan yang melonjak, malah pakej penyakit pun menunggu giliran.

Lepas raya mula mengeluh tekanan darah naik dan kolesterol mencanak, sedangkan kita sendiri yang ‘korbankan’ kesihatan.

Merak Jalanan harap berpada-padalah. Daging itu rezeki tapi makan biarlah seimbang. Jangan kerana seronok raya, badan pula jadi mangsa.

Marilah kita bersama-sama muhasabah kembali makna sebenar ibadah korban. Ingatlah, Aidiladha adalah tentang kemenangan mengawal diri, bukannya medan melampiaskan nafsu makan sehingga memudaratkan diri sendiri.