PETALING JAYA - Kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa di Laluan Putrajaya sedang giat dijalankan susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai yang dikesan awal pagi, Selasa.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, kejadian berkenaan telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan kerja pembaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat serta stabil.
"Perkhidmatan tren dijangka dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.
"Sepanjang tempoh gangguan, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Justeru, Rapid Rail menyarankan penumpang menggunakan laluan rel alternatif sebagai langkah sementara.
Syarikat terbabit turut memohon kerjasama semua penumpang supaya mematuhi arahan petugas di stesen demi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan bersama.
Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.

