hamden30/09/2026 - 15:08 Gambar/ Portal Kementerian Kewangan KUALA LUMPUR 30 Sept - Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum baharu buat sementara waktu selepas mengambil kira kemampuan sektor berkenaan menyerap kos lebih tinggi susulan tekanan operasi dan ekonomi semasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri hari ini selepas mengambil kira keadaan semasa yang dihadapi sektor PMKS.
"Kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji dalam sektor PMKS, termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif, supaya kenaikan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti," katanya lapor NST.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan pekerja menerima gaji yang munasabah, pada masa sama membolehkan PMKS kekal berdaya saing, terus berkembang serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Keputusan itu dibuat ketika kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan gaji minimum yang lebih tinggi menerusi Belanjawan 2027, yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Isnin berkata, sebarang keputusan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 wajar diserahkan kepada pengumuman Belanjawan 2027 oleh Anwar.
Beliau berkata, kerajaan sedang meneliti bagaimana sebarang kenaikan boleh dilaksanakan dengan mengimbangi kebajikan pekerja dan kemampuan majikan, khususnya perniagaan kecil serta PMKS, untuk menampung kos operasi yang lebih tinggi.
Sebelum ini Steven Sim menggesa kerajaan berkongsi kos kenaikan gaji dengan perusahaan kecil dan sederhana termasuk menerusi subsidi gaji, dan bukannya meletakkan keseluruhan beban itu kepada perniagaan.
Gaji minimum semasa sebanyak RM1,700 berkuat kuasa ke atas semua majikan mulai 1 Ogos tahun lalu di bawah Perintah Gaji Minimum 2024. - DagangNews.com





