FMM mahu garis panduan jelas pengecualian gaji minimum PMKS

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengeluarkan garis panduan pelaksanaan jelas berhubung pengecualian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan gaji minimum khususnya berkaitan takrif PMKS yang layak, kriteria kelayakan, tarikh mula serta tempoh pengecualian.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Jacob Lee Chor Kok berkata, kejelasan berhubung perkara itu penting bagi memastikan majikan dan pekerja memahami pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri berkenaan.

“Majikan dan pekerja juga memerlukan kejelasan sama ada langkah itu merupakan penangguhan kepada tarikh pelaksanaan kemudian atau pengecualian yang tertakluk kepada syarat semakan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jacob Lee berkata, FMM menyambut baik keputusan tersebut kerana ia memberi ruang kepada perniagaan kecil berdepan tekanan kos operasi, selain mengimbangi keperluan meningkatkan pendapatan pekerja dengan kemampuan majikan menanggung kos gaji lebih tinggi.

Beliau berkata, pengaturan sebelum ini berkaitan pelarasan gaji minimum menunjukkan majikan kecil pernah diberikan tempoh tambahan untuk menyesuaikan operasi mereka.

Katanya, dalam pelarasan 2022, pelaksanaan bagi majikan yang layak dengan kurang daripada lima pekerja ditangguhkan sehingga 1 Julai 2023.

“Bagi pelarasan 2025 pula, ia berkuat kuasa pada 1 Februari bagi majikan dengan lima atau lebih pekerja serta mereka yang menjalankan aktiviti profesional, manakala majikan yang layak dengan kurang daripada lima pekerja melaksanakannya mulai 1 Ogos 2025.

“Pengaturan tersebut merupakan penangguhan sementara dan bukannya pengecualian kekal daripada gaji minimum.

“Pengumuman terbaharu pula merujuk kepada PMKS secara lebih meluas. Oleh itu, skopnya perlu dibezakan dengan jelas daripada ambang berdasarkan bilangan pekerja sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pengecualian daripada kenaikan gaji minimum pada masa hadapan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebenaran untuk mengurangkan gaji sedia ada atau mengabaikan kadar gaji minimum berkanun yang sedang berkuat kuasa.

Mengulas Dasar Gaji Progresif, FMM menyokong penggunaan subsidi upah bagi membantu PMKS meningkatkan gaji pekerja seiring dengan peningkatan produktiviti.

Katanya, subsidi berkenaan perlu disertakan proses permohonan yang mudah, pembayaran tepat pada masanya serta panduan jelas mengenai latihan dan peningkatan gaji yang memenuhi syarat.

“Sokongan itu juga perlu dilengkapi bantuan praktikal bagi automasi, pendigitalan, peningkatan kemahiran dan penambahbaikan proses pengeluaran.

“Langkah tersebut akan membantu pengilang kecil meningkatkan pengeluaran dan nilai ditambah, sekali gus membolehkan pertumbuhan gaji dikekalkan selepas tempoh subsidi berakhir,” katanya.

Menurut Jacob Lee, Belanjawan 2027 boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh sokongan kepada PMKS menerusi Pakej Sokongan Pembuatan Pintar, rangka kerja cukai lebih kompetitif serta latihan dan perantisan diterajui industri.

Dalam pada itu, semakan gaji minimum secara menyeluruh juga perlu diteruskan melalui proses tiga pihak di bawah Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Keadaan pengilang di luar kategori PMKS juga perlu dipertimbangkan kerana saiz syarikat semata-mata tidak menentukan tahap keuntungan atau keupayaan menyerap kenaikan gaji yang besar.

“FMM menyokong matlamat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja sambil mengekalkan daya saing perniagaan.

“Pengecualian yang diumumkan itu seharusnya memberikan ruang kepada PMKS untuk memperkukuh operasi mereka, disertai sokongan praktikal bagi membantu pekerja mencapai gaji yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

The post FMM mahu garis panduan jelas pengecualian gaji minimum PMKS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved