
Berdasarkan pengalaman sebagai juruwang di sebuah stesen minyak luar bandar dengan populasi warga emas yang agak tinggi, penulis dapati agak sukar untuk menunjukkan cara menggunakan aplikasi perbankan internet dan e-dompet dalam kalangan pelanggan di sini.
Oleh sebab itu, jika pelanggan kami kekurangan wang tunai dan ATM pula kehabisan tunai, penulis dan staf lain lazimnya akan terus tawarkan kepada pelanggan untuk bayar sahaja guna kad debit. Nak bayar RM 1 sahaja pun boleh, tiada caj tambahan dikenakan.
Malah, pada pendapat penulis, jika semua peniaga mampu menyediakan khidmat pembayaran menggunakan kad debit tanpa caj tambahan dan tanpa syarat pembelian minimum, selari dengan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) golongan luar bandar yang kurang mahir IT juga dapat menikmati kaedah pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah dan selamat.
Tambahan lagi, penulis berpendapat penggunaan kad debit, yang dihadkan kepada pembayaran luar talian (offline), tanpa pengaktifan perbankan internet berpotensi meningkatkan lagi kadar penembusan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar, pada masa yang sama mengurangkan risiko mereka terdedah keopada penipuan (scam) melalui perisian hasad (malware).

Sebelum penulis melanjutkan perbincangan, ada baiknya diterangkan sedikit modus operandi penipuan melalui perisian hasad ini.
Lazimnya, pemangsa akan menghantar e-mel atau mesej yang mengandungi pautan kepada fail aplikasi (.apk). Pemangsa akan memancing pengguna untuk memasang aplikasi tersebut atas tujuan tertentu, contohnya seperti dalam imej di atas, untuk menmbuka kad jemputabn kahwin digital.
Setelah aplikasi tersebut dipasang, beberapa kebenaran yang sangat sensitif akan dipohon oleh aplikasi tersebut seperti kebenaran untuk memantau peranti, aplikasi, dan gerak isyarat dalam telefon pengguna.
Malang sekali, jika kebenaran tersebut diluluskan, pemangsa boleh mencuri semua data peribadi mangsa. Lebih parah lagi, dengan kawalan jarak jauh, pemangsa boleh mengawal terus aktiviti aplikasi perbankan, lantas menyebabkan kerugian kewangan.
Sebaliknya, jika mangsa hanya mengehadkan penggunaan kad debit untuk pembayaran luar talian sahaja dan tidak mengaktifkan perbankan internet, keberangkalian kerugian kewangan untuk berlaku jauh lebih rendah.
Sungguhpun begitu, tidak dinafikan bahawa tanpa akses perbankan internet, fungsi penting seperti pertanyaan baki dan pemindahan wang menjadi agak sukar.
Maka, satu-satunya cara untuk golongan yang penulis nyatakan untuk memastikan baki mereka mencukupi untuk membuat pembayaran ialah dengan memeriksa baki akaun mereka secara berkala menggunakan ATM.
Manakala untuk melakukan pemindahan wang pula, mereka boleh menggunakan ATM yang menawarkan khidmat pemindahan wang antara bank tanpa caj seperti Euronet (dahulunya MEPS).
Kesimpulannya, walaupun mungkin agak sukar sedikit untuk pengguna kad debit tanpa perbankan internet memantau aktiviti akaun mereka, sekurang-kurangnya golongan kurang mahir IT ini kurang terdedah dengan risiko penipuan dalam talian, selagi mana mereka hadkan transaksi kad debit mereka hanya di luar talian, tidak memberikan kad mereka kepada pihak lain dan tidak mendedahkan maklumat kad debit mereka.
Sekurang-kurangnya, dengan cara ini kita dapat melihat lebih ramai dalam kalangan masyarakat luar bandar ikut serta dalam gerakan menuju masyarakat tanpa tunai (cashless society).
Wan Salman (wanizzudinsalman@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.



![“Nak Belanja Dia Minum” – Wanita Cari Lelaki Bantu Tap Kad Touch ‘n Go Di Tol Curi Perhatian [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)