Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 Dibangunkan Semula Untuk Tujuan AI Di China

TechnologyDigital
27 Nov 2023 • 12:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada bulan lepas, kami telah melaporkan bahawa kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 telah diharamkan jualannya di China kerana ia merupakan sebuah kad grafik yang sangat berkuasa yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan perkomputeran lain selain daripada gaming.

image is not available

Sebelum sekatan jualan berkuat-kuasa, NVIDIA dilihat telah menghantar sejumlah besar kad grafik tersebut ke China, kerana sama ada mereka suka ataupun tidak, negara tersebut merupakan salah satu pasaran terbesar mereka dari segi sektor pengguna dan juga industri.

image is not available

Selain daripada berita bahawa harga sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 ini telah meningkat ke $2000, terdapat satu lagi berita yang menarik mengenai kad-kad grafik ini di China ialah beberapa kilang khusus telah dibangunkan untuk menyahpasang kad-kad grafik gaming ini untuk menggunakan komponen-komponennya (khususnya GPU dan memori) sebagai sebuah kad grafik khusus untuk tujuan kecerdasan buatan.

image is not available

Seperti yang dikatakan, komponen-komponen GPU dan memori dicabut daripada papan induk sedia ada, dan dipasang pada papan induk baru yang dibangunkan khas untuk tujuan kecerdasan buatan. Pemindahan komponen sebegini dilihat sedikit berisiko, akan tetapi kilang-kilang ini juga menguji kad-kad grafik “baharu” ini dengan sejumlah perisian penanda-aras grafik dan kecerdasan buatan untuk memastikan bahawa ia beroperasi seperti yang diinginkan.

image is not available

Malah, sistem penyejukan kad grafik ini juga diubah dari sistem penyejukan dua ke tiga kipas ke satu kipas peniup seperti banyak kad-kad grafik kelas NVIDIA RTX A6000 misalnya. Ini dilakukan supaya ia lebih cekap dari segi saiz (dua slot berbanding 3-4 slot sebelumnya) dan sistem penyejukan yang memfokuskan kepada menyejukkan komponen GPU dan VRAM sahaja.

Ini dilihat menyebabkan papan litar dan sistem penyejukan asal kad-kad grafik ini dijual dengan meluas pada tanda harga yang lebih murah. Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi berapa banyakkah kad-kad grafik ini digunakan semula untuk tujuan kecerdasan buatan ini, dan berapa kad-kad grafik ini dijual di pasaran sebagai kad grafik gaming.