Iktisad11/08/2026 - 07:00 Memperkukuh tadbir urus Syariah dalam pelaksanaan garis panduan SAC BNM bagi Kad Kredit-i: Peranan strategik Jabatan Perbankan Islam memastikan pematuhan operasi perniagaan. Oleh Dr RAZLI RAMLI editor@dagangnews.com Perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia sentiasa bergerak seiring dengan keperluan untuk memastikan setiap produk, perkhidmatan dan operasi yang ditawarkan bukan sahaja kompetitif dari sudut perniagaan, malah kukuh dari aspek pematuhan Syariah.
Dalam konteks ini, peranan tadbir urus Syariah menjadi semakin penting bagi memastikan prinsip-prinsip muamalat Islam diterjemahkan secara konsisten dalam keseluruhan rantaian nilai sesebuah institusi kewangan Islam.
Terbaharu, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (SAC BNM) telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan Pengenaan Caj Pendahuluan Tunai dan Yuran Tahunan dalam Kad Kredit-i serta perkara berkaitan Kad Kredit-i berasaskan Ujrah dan Tawarruq.
Kenyataan ini dikeluarkan berdasarkan kuasa SAC di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan seterusnya ditetapkan sebagai standard Syariah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) serta Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DAFIA). Garis panduan ini berkuat kuasa pada 3 Julai 2026 dan terpakai kepada institusi kewangan Islam yang menawarkan produk Kad Kredit-i.
Kenyataan SAC ini bukan sekadar memberikan penjelasan teknikal berkaitan struktur produk, malah turut membawa mesej penting tentang keperluan institusi kewangan Islam memperkukuh kawalan dalaman, sistem operasi, dokumentasi, pengurusan risiko dan mekanisme pemantauan supaya pelaksanaan produk benar-benar selari dengan prinsip Syariah.
Kepentingan pematuhan operasi dalam produk Kad Kredit-i
Kad Kredit-i merupakan salah satu produk kewangan Islam yang mempunyai tahap kerumitan operasi yang tinggi kerana melibatkan pelbagai fungsi seperti pembangunan produk, teknologi maklumat, operasi kad, pengurusan risiko, kewangan, undang-undang, pematuhan dan khidmat pelanggan.
Dalam pelaksanaan produk Kad Kredit-i, terdapat kemungkinan berlakunya jurang antara struktur Syariah yang telah diluluskan dengan amalan operasi sebenar.
Sebagai contoh, sesuatu kontrak mungkin telah diluluskan dari sudut Syariah, namun konfigurasi sistem, kaedah pengiraan caj, dokumentasi pelanggan atau proses dalaman mungkin tidak menggambarkan struktur tersebut sepenuhnya.
Justeru, peranan Jabatan Perbankan Islam menjadi amat penting sebagai penghubung antara keputusan SAC BNM dengan pelaksanaan di peringkat perniagaan.
Jabatan ini bukan sahaja bertanggungjawab memberikan pandangan Syariah, malah memastikan setiap unit perniagaan memahami, melaksanakan dan mengekalkan pematuhan secara berterusan.
Risiko operasi yang perlu diberi perhatian
Antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah risiko pengiraan caj yang tidak tepat. SAC BNM menjelaskan bahawa pengenaan caj pengeluaran tunai atau caj pendahuluan tunai hendaklah berdasarkan kos langsung sebenar yang ditanggung oleh institusi kewangan Islam tanpa memasukkan unsur keuntungan atau mark-up.
Sekiranya kaedah pengiraan caj tidak tepat, keadaan ini boleh membawa kepada risiko ketidakpatuhan Syariah dan risiko reputasi kepada institusi.
Selain itu, terdapat risiko berkaitan struktur yuran tahunan. Perbezaan yuran antara jenis kad dibenarkan sekiranya ia berdasarkan keseluruhan manfaat, perkhidmatan dan keistimewaan yang diberikan. Walau bagaimanapun, perbezaan tersebut tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan manfaat kewangan seperti pulangan tunai atau rebat.
Risiko lain yang signifikan adalah berkaitan dengan pengiraan ibra'. Dalam struktur Kad Kredit-i berasaskan Ujrah, SAC BNM menegaskan bahawa pengiraan ibra' tidak boleh dibuat berdasarkan baki hutang yang berpunca daripada kontrak qard kerana keadaan tersebut boleh mewujudkan elemen qard jarra naf'an, iaitu manfaat kepada pemberi pinjaman daripada pinjaman yang diberikan. Selain itu, caj ujrah dan caj pembayaran lewat tidak boleh dikompaun.
Dari sudut sistem, risiko juga boleh berlaku sekiranya sistem teknologi maklumat tidak dikemas kini untuk menyokong keperluan baharu.
Kesilapan konfigurasi sistem boleh menyebabkan kesilapan pengiraan caj, pembayaran tidak diagihkan mengikut kaedah yang ditetapkan atau pengiraan ibra' yang tidak tepat.
Peranan Jabatan Perbankan Islam sebagai barisan kawalan utama
Bagi memastikan pematuhan menyeluruh, Jabatan Perbankan Islam perlu memainkan peranan sebagai mekanisme `barisan pertahanan kedua' yang memantau pelaksanaan oleh unit perniagaan.
1. Fungsi Penasihat Syariah perlu menjalankan analisis jurang terhadap semua produk Kad Kredit-i sedia ada. Penilaian ini perlu memastikan struktur kontrak, mekanisme caj, kaedah ibra', dokumentasi pelanggan dan proses operasi adalah sejajar dengan keputusan SAC BNM.
Fungsi ini juga perlu memastikan bahawa sebarang perubahan produk, sistem atau proses operasi mendapat semakan dan pengesahan Syariah sebelum dilaksanakan.
2 Fungsi Pematuhan Syariah perlu memastikan semua keperluan SAC BNM diterjemahkan dalam bentuk polisi, prosedur, senarai semak pematuhan dan mekanisme pemantauan berkala. Pemantauan tidak boleh hanya dilakukan pada peringkat pelancaran produk, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang kitar hayat produk.
3. Fungsi Audit Syariah perlu menyediakan pengesahan bebas bahawa pelaksanaan sebenar selari dengan kelulusan Syariah. Audit perlu memberikan tumpuan kepada pengiraan caj, konfigurasi sistem, dokumen perjanjian, rekod transaksi dan rawatan perakaunan.
SAC BNM turut menegaskan bahawa operasi, dokumentasi undang-undang dan rawatan perakaunan bagi produk Kad Kredit-i berasaskan Tawarruq hendaklah selaras dengan takyif fiqhi yang telah diluluskan.
4. Fungsi Penyelidikan Syariah perlu memainkan peranan sebagai pusat rujukan ilmu dengan menjalankan kajian berterusan terhadap perkembangan industri, keputusan SAC BNM, amalan pasaran dan isu-isu baharu yang timbul.
5. Fungsi Sekretariat Syariah perlu memastikan keseluruhan proses tadbir urus berjalan dengan baik melalui penyediaan kertas mesyuarat, rekod keputusan, pemantauan tindakan susulan dan pelaporan kepada Jawatankuasa Syariah.
Kepentingan senarai semak pematuhan
Bagi memastikan pelaksanaan yang sistematik, Jabatan Perbankan Islam wajar menyediakan satu senarai semak pematuhan yang menyeluruh untuk digunakan oleh unit perniagaan.

Pendekatan berasaskan senarai semak membolehkan Jabatan Perbankan Islam mengenal pasti kelemahan lebih awal dan memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan sebelum sesuatu isu berkembang menjadi ketidakpatuhan Syariah yang lebih besar.
Memperkasa kerjasama antara Syariah dan perniagaan
Salah satu cabaran utama dalam pelaksanaan garis panduan baharu ialah memastikan hubungan antara fungsi Syariah dengan perniagaan bergerak secara harmoni.
Fungsi Syariah bukan hanya bertindak sebagai pihak yang memberikan kelulusan, malah sebagai rakan strategik kepada perniagaan dalam memastikan inovasi produk berlaku dalam lingkungan prinsip Syariah.
Unit perniagaan pula perlu memahami bahawa pematuhan Syariah bukan sekadar tanggungjawab Jabatan Syariah, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh organisasi.
Setiap perubahan kepada produk, sistem, proses atau strategi pemasaran perlu mengambil kira implikasi Syariah sejak peringkat awal.
Pendekatan ini akan mengurangkan risiko pembetulan selepas pelaksanaan serta meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk kewangan Islam.
Beri Kejelasan
Kenyataan SAC BNM berkaitan Kad Kredit-i berasaskan Ujrah dan Tawarruq merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh lagi integriti industri kewangan Islam Malaysia. Ia memberikan kejelasan terhadap isu operasi yang timbul serta memastikan produk Kad Kredit-i terus berkembang dalam kerangka Syariah yang kukuh.
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan, Jabatan Perbankan Islam perlu memainkan peranan aktif melalui fungsi nasihat Syariah, pemantauan pematuhan, audit, penyelidikan dan tadbir urus.
Pada masa yang sama, unit perniagaan perlu memastikan setiap proses operasi, sistem dan dokumentasi benar-benar mencerminkan kehendak Syariah.
Akhirnya, pematuhan Syariah bukan hanya berkaitan dengan memenuhi keperluan pengawal selia, malah merupakan amanah untuk memastikan industri kewangan Islam terus beroperasi berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kemaslahatan pelanggan.
Dengan tadbir urus yang kukuh dan kerjasama erat antara semua pihak, produk Kad Kredit-i akan terus berkembang sebagai alternatif kewangan yang diyakini masyarakat. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM







