Pasukan khas SPRM-JKDM perlu mandat jelas, pastikan operasi berkesan - C4 Center

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 12:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasukan khas SPRM-JKDM perlu mandat jelas, pastikan operasi berkesan - C4 Center
Pasukan khas SPRM-JKDM perlu mandat jelas, operasi telus dalam membanteras ketirisan hasil pelabuhan negara.
Image from: Pasukan khas SPRM-JKDM perlu mandat jelas, pastikan operasi berkesan - C4 Center
Arief

SHAH ALAM – Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) menggesa mandat, skop kuasa serta mekanisme operasi pasukan petugas khas melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diperjelaskan bagi memastikan inisiatif membanteras ketirisan hasil negara benar-benar berkesan.

Ketua Penyelidikan dan Advokasi Dasar C4 Center, Arief Hamizan berkata, penubuhan pasukan itu merupakan langkah positif, namun keberkesanannya bergantung kepada kerangka tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan bebas daripada pertindihan fungsi.

Menurutnya, Malaysia masih memerlukan mekanisme ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh bagi membolehkan agensi kerajaan dipantau secara berkesan oleh masyarakat.

"Saluran sedia ada untuk orang ramai menuntut akauntabiliti daripada badan kerajaan masih terhad, manakala budaya kerahsiaan dalam birokrasi terus menjejaskan keyakinan awam.

"Ini merupakan langkah positif, namun peranan, kuasa dan mekanisme pelaksanaannya perlu ditakrifkan dengan jelas.

"Garis panduan yang kukuh diperlukan bagi memastikan pasukan petugas itu beroperasi secara berkesan, mengelakkan pertindihan tanggungjawab serta menghasilkan impak yang nyata dalam menangani kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus," katanya kepada media pada Khamis.

Beliau mengulas cadangan penubuhan pasukan petugas khas antara SPRM dan JKDM bagi menangani ketirisan hasil negara di pelabuhan.

Menurut Arief, usaha memperkukuh penguatkuasaan perlu disertai reformasi institusi yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam.

**media[3606645]**

Katanya, antara pembaharuan yang wajar dipertimbangkan ialah penggubalan undang-undang Kebebasan Maklumat serta penubuhan pejabat Ombudsman Persekutuan bagi menyiasat dan menyelesaikan aduan orang ramai terhadap agensi kerajaan.

"Kejayaan reformasi ini bergantung kepada sejauh mana kerangka pelaksanaannya mematuhi amalan terbaik antarabangsa untuk mewujudkan institusi awam yang lebih terbuka, responsif dan diyakini rakyat," katanya.

Minggu lalu, media melaporkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berkaitan skop kuasa, fokus operasi serta kaedah pelaporan hasil siasatan kepada orang ramai.

Kerjasama strategik antara SPRM dan JKDM dilihat mampu memperkukuh penguatkuasaan, terutama dalam menangani isu pengurusan kontena, penyeludupan, pemalsuan dokumen serta cubaan mengelak pembayaran cukai.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum diperincikan bagaimana pasukan petugas itu akan beroperasi, termasuk sama ada fungsinya lebih tertumpu kepada pemantauan, pencegahan atau tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu dibincangkan ketika kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad ke ibu pejabat SPRM.

Menurut beliau, kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai cabaran operasi termasuk prosedur pemeriksaan kastam, kekangan birokrasi serta isu dalaman yang dihadapi JKDM.

Katanya, perbincangan itu turut menyentuh mekanisme bagi membendung ketirisan dalam pengurusan kontena di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan seluruh negara.

Sementara itu, Amran berkata, JKDM turut berkongsi maklumat mengenai modus operandi sindiket yang mengelak pembayaran cukai, termasuk melalui aktiviti penyeludupan serta pemalsuan maklumat atau dokumen bagi mendapatkan kelulusan di bawah kategori tertentu.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved