Kad Penderma Darah kini ada di MySejahtera, tapi ia hanya untuk penderma di pusat terpilih ini sahaja

3 Oct 2022 • 4:33 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Pada awal bulan lalu, MySejahtera ada perkenalkan ciri Ikrar derma organ bagi memudahkan pengguna mendaftar sebagai pengikrar. Kad Ikrar Pendermaan Organ juga disediakan di dalam aplikasi itu.

Kini, ada satu lagi berita baik buat pengguna iaitu kehadiran Kad Penderma Darah digital. Kad ini akan tersedia untuk anda jika anda derma darah di pusat pendermaan yang menggunakan sistem Blood Bank Information System (BBISV2). Setakat ini, sistem tersebut hanya digunakan di 22 pusat kutipan darah sahaja, iaitu di:

  1. Pusat Darah Negara
  2. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.
  3. Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu
  4. Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor.
  5. Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
  6. Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan.
  7. Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
  8. Hospital Taiping, Perak.
  9. Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
  10. Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
  11. Hospital Pulau Pinang.
  12. Hospital Miri, Sarawak
  13. Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
  14. Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
  15. Hospital Seri Manjung, Perak.
  16. Hospital Umum Sarawak.
  17. Hospital Sibu, Sarawak.
  18. Hospital Tawau, Sabah.
  19. Hospital Queen Elizabeth II, Sabah.
  20. Hospital Sandakan, Sabah.
  21. Hospital Melaka.
  22. Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Negeri Sembilan.

image is not available

Berdasarkan tangkap layar kad digital dari YB Khairy Jamaluddin, dapat dilihat pada kad itu ada tertera maklumat seperti nama, nombor ID, jenis darah, jumlah derma darah yang telah dilakukan serta maklumat keistimewaan yang diterima.

Untuk dapatkan kad digital ini, anda perlu kemaskini dahulu aplikasi MySejahtera kepada versi terkini. Menurut Khairy Jamaluddin, pada kemas kini yang seterusnya, MySejahtera akan mengandungi rekod derma buku merah pula. Hal ini pastinya akan memudahkan orang ramai menderma darah dan lihat semula sejarah menderma masing-masing, sebab semua itu sudah tersedia di dalam telefon. Tak perlu risau juga jika buku merah hilang!

Jika anda berumur 17 tahun ke atas dan mempunyai berat badan melebihi 45kg, maka ambillah peluang untuk menderma darah. Anda tahu tak, dengan derma darah, anda boleh terima banyak keistimewaan perubatan. Antaranya dapat rawatan percuma untuk pesakit luar, percuma wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan percuma wad kelas kedua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu.

Selain itu, bila kita derma darah, nyawa orang lain juga boleh diselamatkan. Darah anda mungkin diperlukan untuk kegunaan pembedahan, membantu mangsa kemalangan atau untuk merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia. Ketahui lebih lanjut mengenai Kad Penderma Darah di sini.