Kad pengenalan Sabah penyelesaiannya: SAPP

LocalPolitics
10 Apr 2025 • 2:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Seorang bekas Ketua Menteri mencadangkan Sabah harus mempunyai kad pengenalan (IC) sendiri bagi menyelesaikan isu kerakyatan meragukan.

Datuk Seri Yong Teck Lee berkata masalah berlarutan masih wujud berhubung dokumen kewarganegaraan meragukan, yang didakwa dikeluarkan selama ini kepada warga asing tanpa izin di Sabah.

“Kita tidak perlu membuang masa dan berdebat semula (dokumen ini) sekali lagi... kerana RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) mengenai Pendatang Haram sudah menerbitkan penemuan dan syornya pada 2014,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata penemuan RCI itu disokong oleh fakta, dokumen dan keterangan saksi, dengan ramai mengaku dilahirkan di luar negara tetapi diberi stats kewarganegaraan Malaysia pada 1980-an dan 1990-an.

Beliau berkata salah seorang daripadanya kemudian menjadi pemimpin cawangan Sabah bagi sebuah parti politik dari Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan kedudukannya dalam parti, dia juga dilantik menganggotai lembaga pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah. Sandiwara sebegini mesti dihentikan,” katanya.

Yong berkata pegawai kerajaan pernah disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam pembuatan dokumen palsu.

Katanya, dari 1995 hingga 1997, anggota sindiket IC palsu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang kini dimansuhkan) dan sejak itu, ada yang sudah meninggal dunia.

“Ramai pemegang IC palsu juga telah pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela,” katanya.

Mengenai cadangan IC Sabah, Yong berkata tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendaftaran Negara 1959, Akta Imigresen 1959/63, atau Akta Pasport 1966 yang melarang pengeluaran kad sedemikian kerana ia hanya dikhususkan untuk warganegara Malaysia berstatus Sabah, bukan warga asing.

Beliau berkata akta Parlimen dan Perlembagaan yang sama turut memperuntukkan status zon berbeza bagi wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

IC Sabah tidak akan memberikan kewarganegaraan kepada bukan warganegara Malaysia kerana ini hanya boleh dibuat oleh Kerajaan Persekutuan, tambahnya.

“Jadi apa yang Sabah tunggu? Mengungkit isu lapuk tanpa menawarkan penyelesaian hanya akan merunsingkan rakyat dan mengalih perhatian kerajaan daripada menyelesaikan masalah harian berkaitan ekonomi dan infrastruktur yang dihadapi oleh rakyat biasa,” kata Yong.

Beliau menegaskan bahawa pengeluaran IC Sabah kepada warganegara Malaysia berstatus Sabah dapat membezakan warganegara Malaysia tulen yang merupakan warga Sabah, dengan bukan warga Sabah yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Untuk menghilangkan semua keraguan, warga asing yang diberi kewarganegaraan Malaysia kekal sebagai rakyat Malaysia, tetapi mereka bukan raluat Sabah dan masih tertakluk kepada kawalan imigresen Sabah, seperti yang diamalkan pada masa ini, tambahnya.

“Warganegara Malaysia tulen dari semenanjung dan Sarawak yang telah menetap di Sabah selama bertahun-tahun juga boleh diberikan IC Sabah, tertakluk kepada budi bicara Kerajaan Sabah semata-mata,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak berperlembagaan bagi Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan MyKad dengan digit -12- (menandakan lahir di Sabah) kepada warga asing kerana MyKad ini secara haram memberikan status Sabah malah status Anak Negeri kepada warga asing yang jelas bukan Anak Negeri Sabah.

Kewarganegaraan lazimnya menjadi isu pada waktu pilihan raya, dan Sabah dijangka mengadakan pilihan raya negeri ke-17 selewat-lewatnya pada November.