SAPP Saran Sabah Perkenal Kad Pengenalan Khas Untuk Warganegara Malaysia Asal Sabah

10 Apr 2025 • 7:58 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

SAPP Cadang Sabah Wujudkan Kad Pengenalan Khas Bagi Warganegara Asal Sabah

SAPP Saran Sabah Perkenal Kad Pengenalan Khas Untuk Warganegara Malaysia Asal Sabah. Dalam usaha menoktahkan isu berpanjangan berkaitan dokumen kewarganegaraan meragukan yang melibatkan warga asing di Sabah, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyarankan agar kerajaan negeri memperkenalkan Kad Pengenalan Sabah khas untuk warganegara Malaysia yang berasal dari negeri itu.

Menurut beliau, langkah ini bukan sahaja akan membezakan rakyat Malaysia yang benar-benar berasal dari Sabah, tetapi juga menghalang penyalahgunaan dokumen MyKad oleh individu yang bukan warganegara atau yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan negeri berkenaan.

image is not available

“Tiada keperluan untuk terus berpusing dalam isu ini. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin telah pun membuat laporan dan syor pada tahun 2014. Fakta dan bukti telah pun ada,” kata beliau.

Pendedahan Mengejutkan: Warganegara Segera Dengan Digit Sabah

Yong mendedahkan satu kes di mana seorang individu yang lahir di luar negara mengaku menerima MyKad dengan digit “-12-”, iaitu kod kelahiran Sabah. Lebih mengejutkan, individu itu kemudiannya memimpin sebuah parti politik di Sabah dan turut dilantik ke lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi. Ini bukan hanya soal teknikal, tetapi berkait dengan integriti kewarganegaraan dan identiti negeri,” tegas Yong.

Peranan Pegawai dan Tindakan Lalu

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat pegawai kerajaan yang pernah didapati bersalah dalam pengeluaran dokumen palsu, dan antara tahun 1995 hingga 1997, beberapa individu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.

Sejak itu, ramai pemegang kad pengenalan palsu telah pulang ke negara asal secara sukarela, namun kesan daripada aktiviti ini masih dirasai sehingga hari ini.

Kad Pengenalan Sabah Tidak Bertentangan Undang-Undang

Yong menegaskan bahawa tiada apa dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta berkaitan pendaftaran dan imigresen yang menghalang Sabah daripada mengeluarkan kad pengenalan negeri kepada rakyatnya sendiri. Malah, katanya, Sabah, Sarawak dan Semenanjung memang ditakrifkan sebagai zon berasingan dari sudut perundangan.

“Kad Pengenalan Sabah ini tidak memberi kewarganegaraan kepada orang asing. Itu kekal di bawah bidang kuasa Persekutuan,” jelas beliau.

Masa Untuk Bertindak, Bukan Terus Mengungkit

Beliau mengingatkan bahawa terus mengungkit isu lama tanpa cadangan penyelesaian hanya akan menambah kekeliruan dan tekanan kepada rakyat.

“Adakah anak-anak muda SAPP perlu kembali turun ke jalan dalam protes ‘Black Sunday’? Soalnya bukan pada retorik, tetapi tindakan,” katanya.

Pemisahan Jelas Antara Sabahans dan Bukan Sabahans

Yong menegaskan bahawa mereka yang telah diberikan kewarganegaraan oleh kerajaan Malaysia kekal sebagai warganegara, namun itu tidak menjadikan mereka ‘Sabahan’. Hanya kerajaan Sabah yang patut menentukan siapa layak menerima Kad Pengenalan Sabah berdasarkan hubungan yang kukuh dengan negeri ini.