Kada bakal pamer permainan video AI proses penanaman padi di MAHA 2026

LocalGaming
9 Jun 2026 • 2:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kada bakal pamer permainan video AI proses penanaman padi di MAHA 2026
Khalid (dua dari kiri) bersama kakitangan Kada mempamerkan risalah MAHA 2026.

KOTA BHARU - Pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal berpeluang merasai pengalaman menanam padi secara maya menerusi permainan video interaktif berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang akan ditampilkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad berkata, permainan video itu dibangunkan bagi memberi pendedahan kepada orang awam mengenai proses sebenar yang dilalui petani dalam menghasilkan padi bermula daripada penyediaan tanah sehingga ke peringkat penuaian.

Katanya, melalui permainan ini, peserta akan terlibat membajak, menabur benih, menanam, mengurus tanaman sehingga menuai hasil.

“Tujuan utama permainan ini bukan saja untuk mendidik petani, sebaliknya memberi pendedahan kepada orang awam supaya mereka memahami usaha yang perlu dilakukan untuk mendapatkan hasil padi yang baik.

“Jika proses tidak mengikut kaedah yang betul, hasil diperoleh dalam permainan itu akan menjadi rendah, sebaliknya, kalau semua langkah dilaksanakan dengan tepat termasuk pengurusan air dan pembajaan, hasil lebih tinggi akan diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi Bersama Warga Kada di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Kada, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, permainan video yang menampilkan hampir 95 peratus simulasi sebenar proses penanaman padi itu kini berada pada peringkat reka bentuk akhir dan dijangka menelan kos antara RM200,000 hingga RM300,000.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan antara tarikan utama segmen Youth Engagement yang akan dibawa Kada ke MAHA 2026 bagi menarik minat golongan muda terhadap sektor pertanian.

“Ini kali pertama kami tampilkan permainan yang memaparkan keseluruhan sistem penanaman padi. Sebelum ini, hanya mempamerkan permainan video yang memfokuskan kepada proses menuai hasil sahaja.

“Melalui pendekatan interaktif ini, pengunjung bukan sahaja dapat berhibur, malah memahami dengan lebih jelas perjalanan penghasilan padi dan faktor-faktor yang mempengaruhi produktiviti tanaman,” katanya.

Tambah beliau, Kada turut akan membawa usahawan dan pelbagai produk pertanian ke MAHA 2026 sebagai usaha mempamerkan pencapaian sektor agromakanan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keterjaminan makanan negara.

MAHA 2026 dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Serdang, Selangor.