KOTA BHARU - Seramai 7,420 petani yang mengusahakan sawah bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bakal berdepan kerugian jika gagal mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan.
Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan pelbagai kemudahan termasuk perlindungan skim takaful dan insentif kerajaan.
**media[3538990]**
"Kalau mereka (petani) terkeluar daripada laporan tanaman padi kita, mereka akan mengalami banyak kerugian.
"Mereka tidak akan dapat insentif dan skim takaful juga tidak akan melindungi jika berlaku sesuatu.
"Kerugian akibat bencana atau masalah lain perlu ditanggung sendiri kerana skim takaful hanya meliputi petani yang mengikut jadual tanaman dan berada di bawah laporan rasmi KADA," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Solat Hajat Sempena Permulaan Penanaman Padi Musim 1/2026 di Stesen Pam Kemubu di sini pada Rabu.
Menurut beliau, tarikh akhir menabur benih padi ditetapkan pada 30 Jun dan KADA sedang giat melaksanakan hebahan kepada petani supaya mematuhi jadual berkenaan.
Ujarnya, jadual tersebut dirangka berdasarkan penelitian terhadap faktor cuaca, rekod penanaman terdahulu serta hasil perbincangan jawatankuasa khas yang dibentuk bagi mengurangkan risiko tanaman terjejas akibat banjir.
"Penanaman bermula pada awal Jun dan mengikut jadual yang disusun, penuaian dijangka selesai selewat-lewatnya pada minggu kedua atau ketiga November.
"Jika semua petani mematuhi jadual yang ditetapkan, kita menjangkakan keseluruhan hasil dapat dituai sebelum musim banjir, kecuali jika berlaku keadaan luar jangka seperti banjir datang lebih awal," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu KADA menyasarkan kira-kira 95 peratus kawasan sawah yang diusahakan melibatkan lebih 24,500 hektar dapat ditanam pada musim ini.
Menurutnya, berdasarkan anggaran purata pengeluaran empat tan sehektar, KADA menjangkakan hasil padi musim ini mampu mencecah kira-kira 200,000 tan.
Tambah beliau, pencapaian sasaran itu bergantung kepada keadaan cuaca dan keupayaan sistem pam pengairan beroperasi tanpa sebarang gangguan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan sepenuhnya kepada petani.
Kemarau ancam tanaman padi
KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima peruntukan tambahan RM850,000 daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi pembinaan lebih 100 tiub wel sebagai langkah awal menghadapi risiko kemarau yang boleh menjejaskan pengeluaran padi di negeri ini.
Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa berkata, keutamaan akan diberikan kepada kira-kira 2,000 hektar kawasan sawah yang dikenal pasti pernah terjejas akibat bencana pada musim lalu, termasuk di Pasir Mas dan beberapa kawasan di Kota Bharu.
Menurut beliau, peruntukan tersebut membolehkan KADA memperluaskan kemudahan tiub wel sama ada dalam bentuk lubang telaga sahaja atau lengkap dengan enjin mengikut keperluan petani.
"Alhamdulillah, kita menerima peruntukan tambahan RM850,000 daripada kementerian untuk pembinaan tiub wel pada musim ini.
"Jika dilaksanakan dalam bentuk lubang sahaja tanpa enjin, kita mampu menyediakan lebih 100 tiub wel baharu yang boleh dimanfaatkan petani di kawasan berisiko," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Solat Hajat Sempena Permulaan Penanaman Padi Musim 1/2026 di Stesen Pam Kemubu di sini pada Rabu.
Beliau memberitahu, langkah itu merupakan antara persiapan awal KADA bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman padi sekiranya berlaku kemarau sepanjang musim penanaman.
Ujarnya, pihaknya kini dalam proses akhir pelaksanaan projek berkenaan termasuk urusan sebut harga sebelum kerja pembinaan dimulakan.
"Apabila berlaku isu kekurangan air nanti, kita tidak perlu lagi menunggu kelulusan baharu kerana peruntukan sudah tersedia dan tindakan boleh dilaksanakan segera.
"Ini adalah antara kaedah yang kita gunakan untuk menangani ancaman kemarau serta memastikan bekalan air kepada petani dapat diteruskan," katanya.
Mohd Faizul memberitahu, KADA turut menyediakan bantuan enjin dan subsidi diesel kepada petani yang memerlukan bagi mengoperasikan tiub wel berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman menangani musim kemarau sebelum ini, petani yang menggunakan kemudahan tersebut akan dibantu dengan bekalan diesel sehingga 80 liter seminggu bagi memastikan sistem pengairan dapat berfungsi dengan baik.
Dalam pada itu, beliau berkata, persediaan awal yang dilakukan KADA diyakini mampu mengurangkan risiko kerosakan tanaman serta membantu mencapai sasaran penanaman padi musim ini melibatkan kira-kira 24,500 hektar kawasan sawah.





