
SERDANG – Pengalaman menjadi pesawah kini boleh dirasai secara maya apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperkenalkan permainan interaktif Simulasi Pertanian berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Menerusi simulasi itu, pemain akan melalui pelbagai peringkat pengurusan sawah bermula daripada penyediaan tanah serta pembajakan, penaburan benih, pembajaan serta penjagaan tanaman sebelum tiba ke peringkat tuaian.
Menariknya, hasil tuaian yang diperoleh pemain bergantung kepada kaedah pengurusan serta penjagaan tanaman yang dipilih.
Selain menjadikan pengalaman pertanian lebih interaktif, ia memberi gambaran mengenai cabaran sebenar yang perlu dihadapi pesawah bagi memastikan hasil tanaman berada pada tahap optimum, serta memupuk minat generasi muda dalam teknologi penanaman padi yang mampu memberikan peluang pekerjaan yang baik.
Pengurus Besar KADA, Mohd. Faizul Mustafa berkata, idea tersebut diketengahkan bagi membolehkan masyarakat bandar merasai pengalaman mengurus tanaman padi melalui simulasi yang disediakan di reruai KADA.

“Permainan ini menjadi usaha KADA mendekati generasi muda menerusi pendekatan teknologi yang lebih dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan teknologi digital dalam sektor pertanian terus diberi perhatian apabila KADA turut mengetengahkan penggunaan teknologi internet semua benda (IoT) sebagai antara pendekatan ke arah pengurusan sawah yang yang lebih moden.
Jelasnya, IoT membolehkan pelbagai maklumat berkaitan keadaan sawah dikumpul dan dipantau secara lebih sistematik menerusi penggunaan sensor serta sistem yang saling berhubung.
“Teknologi IoT penting khususnya dalam penanaman padi kerana pengurusan air, keadaan persekitaran dan pertumbuhan tanaman perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan tanaman berada pada keadaan optimum.
“Dengan penggunaan teknologi pintar, data yang dikumpul boleh membantu pesawah dan pihak berkaitan dengan pengurusan air supaya lebih cekap dan tepat, selain membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas sekiranya berlaku perubahan kepada sawah.
“Penggunaan IoT memperlihatkan bagaimana teknologi boleh memainkan peranan penting dalam memodenkan sektor pertanian serta menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang agromakanan yang mempunyai peluang dan potensi besar,” ujarnya.
Pengalaman bermain Simulasi Pertanian boleh dirasai sendiri orang ramai yang berkunjung ke reruai KADA di Laman Agro Interaktif, Hall C Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sepanjang MAHA 2026 sehingga 6 September ini. -KOSMO! ONLINE
The post KADA bawa dunia sawah ke alam maya appeared first on Kosmo Digital.


