KADA serah pihak berkuasa siasat pegawai kanan terpalit salah laku, rasuah

LocalPolitics
11 May 2025 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi KADA bersama warga KADA di sini pada Ahad. Foto Bernama

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadap dakwaan salah laku membabitkan pegawai kanan agensi itu, termasuk kes rasuah.

Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad menegaskan bahawa laporan berkaitan isu tersebut telah pun dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan kini terserah kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan lanjut.

“Saya ingin maklumkan bahawa laporan terhadap pegawai ini telah dibuat kepada polis dan SPRM.

“Terpulang kepada mereka. Mereka yang akan menjalankan siasatan, sama ada untuk memanggil atau menahan, itu bidang kuasa mereka, bukan tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perhimpunan Bersama Warga KADA di ibu pejabat agensi itu di Lundang, di sini pada Ahad.

Khalid turut mengingatkan semua kakitangan agar menghentikan budaya tuduh-menuduh sesama sendiri serta tidak lagi membangkitkan isu tersebut yang kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Beliau menegaskan bahawa adalah di luar bidang kuasanya untuk menggantung mana-mana kakitangan selagi tiada keputusan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Bukan tanggungjawab saya untuk menggantung pegawai ini tanpa alasan yang kukuh. Pihak berwajib telah menerima segala maklumat dan mempunyai kuasa sepenuhnya.

“Biarlah mereka yang menyiasat. Kita tidak perlu mendahului, sebaliknya dahulukan pencapaian serta fokus kepada tugasan utama kita dalam agensi,” tegasnya.

Khalid turut menyeru semua kakitangan agar menjaga nama baik organisasi secara bersama.

Katanya, tanpa kesepakatan dan rasa tanggungjawab bersama, segala usaha untuk memajukan sektor pertanian tidak akan berjaya.

Terdahulu, akhbar melaporkan bahawa tiga pegawai kanan agensi itu berusia antara 40 hingga 49 tahun telah ditahan pada Mei tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam meminta dan menerima rasuah berkaitan pelbagai projek termasuk pembekalan di Kelantan.

Selain itu, satu medium aktivis di media sosial turut menyiarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berkaitan gangguan seksual melibatkan seorang pegawai agensi tersebut.