
KOTA BHARU – Suami kepada pegawai perubatan, Allahyarham Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, sentiasa mengingati arwah isterinya yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak Selasa lalu.
Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata, ketika ini dia masih tenang, namun sentiasa teringatkan arwah isterinya berikutan pemergian wanita itu secara tiba-tiba.
“Kadang-kadang saya tenang, tetapi sekali-sekala tidak boleh tahan. Sedih apabila teringatkan dia (Allahyarham Dr. Ainul).
“Takdir sudah terjadi, namun Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan. Saya dapat sokongan dan doa daripada semua rakan-rakan yang kenal atau yang tidak kenal. Ini satu rezeki untuk arwah isteri saya juga kerana mendapat doa daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung di sini hari ini.
Muhammad Faiz yang merupakan seorang guru di Miri, Sarawak memberitahu, segala urusan di Sarawak terutamanya melibatkan forensik dan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berjalan lancar meskipun mengambil sedikit masa.
“Saya amat menghargai semua wakil daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan, Kerajaan Negeri Sarawak. Takdir sudah terjadi dan Alhamdulillah perjalanan dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Ainul Baraah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Kampung Baung di sini kira-kira pukul 2.20 petang tadi.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengimamkan solat jenazah selepas solat zuhur di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung di sini bersama lebih 1,000 jemaah.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak pada Selasa lalu.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan, Ainul Baraah, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kadang-kadang tenang, sekali-sekala tidak boleh tahan – Suami Dr. Ainul appeared first on Kosmo Online.






