
KOTA BHARU – Jenazah Allahyarham Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri dekat Sarawak pada Selasa lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Kampung Baung di sini sebentar tadi.
Upacara pengebumian anak keempat daripada lima beradik itu selesai pada pukul 2.20 petang dengan dihadiri kira-kira lebih 200 orang ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan penduduk kampung.
Urusan solat jenazah disempurnakan di Masjid Al-Karamah, Kampung Baung di sini selepas solat zuhur.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak pada Selasa lalu.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan, Ainul Baraah, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah disebabkan kecederaan melecur teruk. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter KKM: Jenazah Dr. Ainul selamat dikebumikan appeared first on Kosmo Online.






