Kadar bayaran pasport Malaysia 10 tahun RM350

4 Jun 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kadar bayaran pasport Malaysia 10 tahun RM350
Warganegara Malaysia bakal menikmati pasport dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun dengan bayaran RM350, berbanding lima tahun ketika ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Warganegara Malaysia bakal menikmati pasport dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun dengan bayaran RM350, berbanding lima tahun ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada Rabu.

Menurut warta ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, individu berumur 60 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM175.

Golongan orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 pula layak mendapatkan pasport berkenaan secara percuma.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen Malaysia setakat ini belum mengumumkan secara rasmi tarikh pelaksanaan permohonan pasport 10 tahun itu.

Ketika ini, rakyat Malaysia dikenakan bayaran RM200 untuk pasport dengan tempoh sah laku lima tahun, manakala RM100 untuk warga emas.

Warta itu turut menetapkan kadar bayaran bagi menggantikan pasport yang rosak atau hilang, termasuk RM550 bagi penggantian pertama untuk warganegara berumur 13 hingga 59 tahun, meningkat daripada RM400 sebelum ini.

Penggantian kali kedua dikenakan RM850, manakala penggantian seterusnya RM1,350.

Bagi warga emas, penggantian pertama ialah RM375, kedua RM675 dan seterusnya RM1,175.

Pemegang kad OKU pula akan dikenakan RM200 untuk penggantian pertama, RM500 untuk kali kedua, dan RM1,000 bagi penggantian berikutnya.