Kadar Faedah Bakal Dibekukan? Apakah Sebab Mengapa The Fed Ingin Melengahkannya

Business & Finance
27 Oct 2026 • 9:28 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Kadar Faedah Bakal Dibekukan? Apakah Sebab Mengapa The Fed Ingin Melengahkannya

Penggubal dasar Rizab Persekutuan (The Fed) dijangka memulakan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu ini di bawah bayang-bayang dilema inflasi yang semakin meruncing tanpa tanda-tanda pemulihan segera. Menjelang pengumuman keputusan rasmi pada hari awal pagi Khamis, konsensus pasaran kewangan global meletakkan kebarangkalian hampir 90% bahawa bank pusat akan mengekalkan kadar faedah penanda aras pada julat 3.75% hingga 4.00%. Langkah melangkau kenaikan kadar pada Oktober ini bagi membolehkan pihak berkuasa menilai impak transmisi kenaikan 25 mata asas yang dilaksanakan pada September lalu.

Tekanan dasar semakin memuncak berikutan bacaan data Indeks Harga Pengguna (CPI) September yang mencatatkan paras tahunan 3.7%, didorong lonjakan harga bahan api fizikal global. Lebih membimbangkan, inflasi teras yang mengecualikan komponen makanan dan tenaga turut melonjak kepada 2.6%, menandakan pecutan 0.3 mata peratusan daripada Ogos dan bergerak bertentangan dengan  sasaran 2% The Fed. Pada masa yang sama, kesan kumulatif kos modal tinggi mula meretakkan sektor sensitif faedah apabila kadar pinjaman gadai janji melepasi 7%, manakala pasaran buruh terperangkap dalam fenomena pengambilan dan pemecatan rendah (low-hire, low-fire).

Tumpuan bilik dagangan antarabangsa kini terarah kepada strategi komunikasi Pengerusi Fed yang baharu, Kevin Warsh, yang secara terbuka menolak amalan panduan hadapan tradisional demi mewujudkan bank pusat yang lebih fleksibel dan sukar dijangka. Ahli ekonomi kanan Deutsche Bank, Brett Ryan, mengunjurkan bahawa Warsh akan menggunakan nada hawkish untuk menegaskan bahawa kitaran pengetatan masih belum berakhir, sekali gus membiarkan pasaran sendiri mentafsir trajektori faedah berpandukan data ekonomi semasa.

Di sebalik unjuran kenaikan, pakar strategi Evercore ISI, Krishna Guha, memberi amaran mengenai wujudnya “risiko pelaksanaan yang ketara” berikutan ketiadaan garis panduan jelas berhubung imbangan mandat guna tenaga dan kestabilan harga. Beliau mentafsirkan The Fed berkemungkinan beralih kepada rentak berkala iaitu satu kenaikan bagi setiap suku tahunan. Berdasarkan instrumen FedWatch CME Group, kebarangkalian kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat penutup tahun pada 8-9 Disember kini melepasi 80%, disusuli potensi kenaikan lanjutan pada Mac 2027.

Langkah pengetatan berterusan ini waulau bagaimanapun menerima kritikan tajam daripada Ketua Penasihat Ekonomi Allianz, Mohamed El-Erian, yang menyifatkan kenaikan faedah selanjutnya sebagai kesilapan dasar yang memudaratkan. El-Erian menegaskan bahawa inflasi semasa berpunca daripada defisit kerajaan yang memerlukan disiplin fiskal dan bukannya pengetatan monetari. Beliau memberi amaran bahawa pengetatan kecairan bank pusat tidak akan menjejaskan gergasi teknologi yang berdaya tahan, sebaliknya bakal meremukkan ekonomi rakyat biasa termasuk pembeli rumah, peminjam kenderaan, dan sektor kredit pengguna.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved