Kadar inflasi Malaysia diunjur berada antara 2% hingga 2.2% pada tahun ini - penganalisis

23/07/2025 - 10:00
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 Julai - Inflasi Malaysia pada tahun ini diunjur berada antara 2% hingga 2.2% disokong pelaksanaan semula langkah penyasaran fiskal secara beransur-ansur dan tekanan permintaan yang sederhana, kata penganalisis.
RHB Research berkata, walaupun tindakan dasar seperti penyasaran semula subsidi RON95, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaran berkaitan gaji serta penstrukturan semula tarif elektrik mungkin memberi tekanan kenaikan harga kekal terkawal.
"Purata inflasi adalah rendah pada kadar 1.4% bagi separuh pertama 2025 dan dijangka meningkat kepada antara 2.4% hingga 2.5% pada separuh kedua tahun ini, mencerminkan potensi risiko kenaikan daripada faktor-faktor tindakan dasar dalam negara.
"Namun begitu, kami juga melihat risiko penurunan terhadap unjuran inflasi semasa kami, khususnya disebabkan kemungkinan kelewatan dalam pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research menganggarkan kesan langsung perluasan SST ke atas indeks harga pengguna (IHP) adalah kecil, sekitar 0.1% hingga 0.2% secara tahunan.
"Namun begitu, kami menjangkakan terdapat sedikit kesan limpahan daripada peluasan SST terhadap kenaikan harga makanan dan peningkatan kos perniagaan kepada pengguna, walaupun dalam skala yang terhad," katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75% bagi baki tahun 2025, selagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal dalam julat jangka panjang antara 4% hingga 5%.
"Tekanan inflasi dijangka kekal terkawal. Bagi mesyuarat akan datang pada bulan September dan November, pihak berkuasa kemungkinan akan kekal bergantung kepada data," katanya.
Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan IHP tahunan pada kadar 2.2% pada 2025, disokong kesan yang agak terhad daripada pelarasan dasar baru-baru ini.
"Kami menandakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada November ini sebagai perkara penting untuk diperhatikan, memandangkan dua perkembangan utama, iaitu pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober dan ketersediaan data makroekonomi," katanya.
"Ini termasuk angka dagangan luar bagi bulan Ogos dan September selepas aktiviti mendahului, serta anggaran awal KDNK suku ketiga 2025," katanya.
CIMB Securities menjangkakan OPR kekal pada 2.75% sehingga akhir tahun ini. - DagangNews.com
standard
