Sektor telekomunikasi catat kemajuan dalam liputan mudah alih dan gentian dipacu program Jendela, kata CIMB Securities

LocalTechnology
23 Jul 2025 • 3:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor telekomunikasi catat kemajuan dalam liputan mudah alih dan gentian dipacu program Jendela, kata CIMB Securities

image is not available

23/07/2025 - 15:21

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan gentian di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara antara 2020 hingga 2024 didorong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui program Jalinan Digital Negara (Jendela), kata CIMB Securities.

Katanya, kemajuan itu dapat dilihat menerusi pencapaian Malaysia menduduki tempat keenam terbaik di Asia (tidak termasuk China) bagi perkhidmatan mudah alih.

"Walaupun Malaysia berada di kedudukan kesembilan di Asia bagi gentian jalur lebar, kami percaya ia mencerminkan campuran langganan pelan dan bukannya kelemahan dalam kualiti rangkaian.

"Bilangan premis gentian yang diliputi mencapai sembilan juta pada akhir 2024 iaitu setahun lebih awal daripada sasaran Fasa 2 Jendela," katanya dalam satu nota kajian.

CIMB Securities percaya, kemajuan besar dalam liputan dan kualiti perkhidmatan akan membantu industri mengurangkan potensi risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang material, terutamanya dari segi peraturan dan reputasi.

Katanya, syarikat telekomunikasi telah mencapai atau melebihi sasaran Jendela Fasa 1 pada akhir 2022.

Sejak itu, liputan 4G telah meningkat lagi kepada 98.7% dengan kebanyakan negeri berada pada atau hampir kepada 100% setakat akhir 2024, manakala premis gentian yang diliputi telah mencapai sembilan juta (peningkatan 81% sejak September 2020), iaitu satu tahun lebih awal daripada sasaran Fasa 2 Jendela.

Walaupun masih terdapat ruang untuk meningkatkan liputan 4G di Sabah dan Sarawak, industri telah mencatatkan kemajuan yang ketara dengan peningkatan daripada 73% hingga 74% kepada 91% hingga 94% antara suku kedua 2020 hingga akhir 2024.

CIMB Securities berkata, MCMC dan orang ramai menjangkakan syarikat telekomunikasi Malaysia akan terus meluaskan liputan rangkaian dan menyediakan kualiti perkhidmatan yang baik dan boleh dipercayai pada harga yang berpatutan demi menyokong keterangkuman digital.

"Kegagalan untuk memenuhi jangkaan ini mendedahkan syarikat telekomunikasi kepada risiko ESG termasuk risiko peraturan seperti denda, penggantungan lesen atau peluang yang berkurangan untuk berjaya dalam bidaan spektrum pada masa akan datang, serta risiko reputasi.

"Situasi itu boleh menyebabkan penurunan nilai jenama dan peningkatan kehilangan pelanggan kepada pesaing yang dilihat sebagai lebih bertanggungjawab dari segi sosial dan lebih inklusif," katanya.- DagangNews.com

standard