Kadar kemiskinan luar bandar menurun 9.9 peratus- Ahmad Zahid

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 3:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kadar kemiskinan luar bandar menurun 9.9 peratus- Ahmad Zahid

TELUK BAHANG – Kadar kemiskinan di kawasan luar bandar terus menunjukkan trend penurunan apabila merekodkan sebanyak 9.9 peratus daripada 12 peratus, berdasarkan data terkini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penurunan itu membuktikan pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil.

“Corak migrasi turut memperlihatkan pergerakan dari luar bandar ke luar bandar sebanyak 7.6 peratus dan dari bandar ke luar bandar sebanyak 7.2 peratus, manakala migrasi luar bandar ke bandar mengecil sehingga 0.6 peratus.

“Ini menunjukkan desa terus mempunyai daya tarikan sebagai tempat untuk hidup, bekerja dan membina masa depan. Namun, potensi ini perlu disokong dengan peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi, infrastruktur dan perkhidmatan yang berkualiti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) kali ke-61 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan tegar melalui penambahbaikan Program Desa Lestari yang bukan sahaja dijenamakan semula, malah diperkasakan dengan pendekatan baharu bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya.

Katanya, pengurusan program itu akan dikendalikan secara lebih profesional dengan membabitkan anak-anak tempatan yang mempunyai kelayakan dan kepakaran bersesuaian, bagi mewakili koperasi serta penduduk setempat.

“Matlamatnya ialah meningkatkan keberhasilan program, khususnya pendapatan isi rumah peserta Desa Lestari kepada RM2,300 sebulan bagi setiap isi rumah.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan, malah menghapuskan kemiskinan tegar di kawasan Desa Lestari melalui pelaksanaan program berimpak tinggi,” ujarnya.

Di samping itu, beliau memberitahu, kerajaan terus komited memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi usaha menarik pelaburan domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI), memperluas liputan telekomunikasi serta mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan kepada penduduk luar bandar, khususnya golongan muda.

“Saya sedar kawasan berpenduduk rendah kurang memberi pulangan kepada syarikat telekomunikasi.

“Namun, usaha bersepadu perlu dilaksanakan melibatkan KKDW, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta kementerian lain menerusi pendekatan ‘whole-of-government’ bagi memastikan liputan internet dapat dinikmati masyarakat luar bandar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Kadar kemiskinan luar bandar menurun 9.9 peratus- Ahmad Zahid appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved