
SABAH mencatatkan kadar prevalens yang lebih rendah bagi beberapa penyakit tidak berjangkit (NCD) berbanding purata nasional namun jumlah pesakit aktif yang perlu diuruskan sistem penjagaan kesihatan awam negeri itu kekal tinggi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang terkini, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa di Sabah ialah 8.8 peratus, terendah di Malaysia berbanding purata nasional sebanyak 15.6 peratus.
Beliau berkata kadar hipertensi di Sabah ialah 25.5 peratus, menduduki tempat ke-12 di peringkat nasional berbanding purata negara sebanyak 29.2 peratus, manakala kadar obesiti negeri itu ialah 19.5 peratus, juga lebih rendah daripada purata nasional.
“Saya memuji dan mengucapkan tahniah kepada rakyat serta seluruh jentera penjagaan kesihatan awam di Sabah atas pencapaian ini.
“Namun, peratusan yang lebih rendah ini tidak seharusnya menyebabkan kita leka. Dari segi jumlah mutlak, jentera kesihatan di Sabah masih perlu memikul beban yang sangat berat,” katanya.
Beliau berkata Sabah ketika ini menguruskan 42,113 kes diabetes aktif dan 86,114 kes hipertensi aktif di seluruh negeri.
Dr Dzulkefly berkata keadaan itu ditambah dengan beban penyakit berjangkit khususnya tuberkulosis (TB) yang merekodkan 4,029 kes baharu dan 131 kematian di Sabah setakat pertengahan Ogos.
Beliau berkata merawat puluhan ribu pesakit NCD di kawasan luar bandar Sabah, merentasi sungai, kawasan pergunungan dan jalan pembalakan, jauh lebih mencabar berbanding menguruskan pesakit di kawasan bandar.
“Ini adalah realiti yang memerlukan kita bertindak melangkaui kebiasaan,” katanya.
Di peringkat nasional, beliau berkata NCD meragut lebih 94,000 nyawa rakyat Malaysia setiap tahun, berbanding 37,000 kematian yang disebabkan pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan keperluan sistem penjagaan kesihatan negara beralih daripada pendekatan merawat orang sakit kepada pendekatan penjagaan kesihatan, dengan memastikan rakyat kekal sihat sebelum mereka jatuh sakit.
Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang kalis masa depan, berorientasikan masa depan dan bersedia menghadapi masa depan menerusi reformasi struktur yang menyeluruh.




