
PETALING JAYA: Sebanyak 70 peratus rakyat Malaysia bimbang mengenai kemampuan mereka untuk menampung kos penjagaan pada masa hadapan, menurut keputusan Tinjauan Penjagaan Manulife Asia 2026.
Menerusi laporan bertajuk Kemandirian Sebagai Legasi Baharu itu, kadar kebimbangan di Malaysia direkodkan lebih tinggi berbanding purata serantau Asia iaitu sebanyak 66 peratus.
Dapatan kajian menunjukkan responden menganggarkan mereka memerlukan sebanyak RM4,760 sebulan bagi menampung kos penjagaan pada usia tua.
Golongan dewasa muda berusia antara 18 hingga 24 tahun menjangkakan keperluan bulanan tertinggi iaitu sebanyak RM5,595 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Malaysia, Vibha Coburn berkata, perkembangan itu mencerminkan perubahan pemikiran masyarakat yang kini menganggap keupayaan berdikari serta kekal sihat sebagai satu legasi baharu kepada keluarga.
“Apabila rakyat Malaysia hidup lebih lama, perancangan untuk hari tua bukan sekadar tentang apa yang ingin mereka wariskan kepada keluarga.
“Ia juga tentang menjalani kehidupan yang lebih sihat dan memastikan tahap kewangan yang terjamin agar dapat terus berdikari,” katanya dalam kenyataan.
Kajian mendedahkan, hampir sembilan daripada 10 responden meletakkan usaha mengekalkan kemandirian sebagai matlamat utama, manakala 80 peratus percaya kekal berdikari tanpa membebankan keluarga merupakan legasi paling bermakna.
Malah, responden memperuntukkan purata 68 peratus daripada aset mereka untuk menyokong kesihatan serta kewangan sendiri, berbanding 32 peratus yang diperuntukkan sebagai warisan kewangan anak-anak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Investment Management, Jason Chong memberitahu, keupayaan untuk kekal berdikari turut dicabar oleh tekanan kewangan yang dihadapi ‘generasi sandwich’.
“Dua pertiga daripada responden memberikan sokongan kewangan kepada ahli keluarga dengan purata 41 peratus daripada pendapatan bulanan dibelanjakan untuk keperluan keluarga.
“Keadaan ini menyebabkan 68 peratus responden mengakui komitmen keluarga mengehadkan keupayaan mereka untuk berdikari dalam jangka panjang, manakala 60 peratus pernah menangguhkan rawatan perubatan,” katanya.
Bagi membiayai keperluan usia tua, sebanyak 83 peratus responden merancang menggunakan simpanan peribadi, diikuti pelaburan (52 peratus) dan insurans (40 peratus).
Hanya 23 peratus menjangkakan bergantung kepada sokongan kewangan anak-anak.
Selain itu, 57 peratus responden yang mempunyai simpanan merancang beralih kepada pelaburan menjana pendapatan bagi memastikan aliran kewangan yang stabil serta perlindungan daripada risiko perbelanjaan luar jangka.
Tinjauan Penjagaan Manulife Asia 2026 mengumpulkan pandangan daripada lebih 9,000 responden di seluruh Asia, termasuk 1,000 responden di Malaysia bagi meneliti pandangan terhadap jangka hayat, kesihatan, persediaan persaraan dan kesejahteraan kewangan. – UTUSAN
The post 70 peratus rakyat Malaysia bimbang kos penjagaan usia tua appeared first on Utusan Malaysia.






