Kadar pengangguran diunjur kekal pada 3.5% tahun ini, susut kepada 3.3% pada 2024 – Kenanga Research

Business & Finance
11 Aug 2023 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kadar pengangguran diunjur kekal pada 3.5% tahun ini, susut kepada 3.3% pada 2024 – Kenanga Research

diyana

11/08/2023 - 10:58

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan kadar pengangguran kekal pada 3.5% tahun ini namun menyemak semula unjuran 2024 kepada 3.3% daripada 3.4% sebelumnya.

Firma penyelidikan itu berkata pasaran buruh dijangka kekal teguh dan terkawal untuk sepanjang tahun ini, dengan purata kadar pengangguran diunjurkan pada 3.5% (2022: 3.8%).

“Kadar pengangguran kekal stabil sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pekerjaan tetap yang bertambah dan rekod kadar penyertaan buruh.

“Ini adalah berikutan permintaan domestik lebih berdaya tahan dan pemulihan berterusan dalam sektor perkhidmatan yang didorong peningkatan ketibaan pelancong,” katanya dalam nota sudut pandangan ekonomi hari ini.

Melangkah ke hadapan, firma tersebut berkata ia percaya pasaran buruh akan tetap disokong oleh peningkatan dalam perbelanjaan pelaburan.

Selain itu, ia akan turut didorong oleh pelbagai sokongan dasar kerajaan untuk menaikkan gaji asas bagi kumpulan berpendapatan rendah di bawah Ekonomi Madani, melalui dasar gaji progresif dan peruntukan yang dijangka lebih tinggi di bawah Bajet 2024, katanya.

“Berdasarkan latar belakang ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini pada 6% berbanding 5.8% pada suku pertama.

“Ini disokong oleh permintaan domestik dan pengembangan dalam sektor perkhidmatan untuk menyokong prospek pertumbuhan.

“Namun begitu, kami mengunjurkan pertumbuhan sederhana pada 3.6% dalam separuh kedua tahun ini daripada 5.8% pada separuh pertama, dengan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 pada 4.7% (2022: 8.7%),” tambahnya.- DagangNews.com