Glostrext catat keuntungan bersih RM1.46 juta pada 1QFY24

Business & Finance
11 Aug 2023 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Glostrext catat keuntungan bersih RM1.46 juta pada 1QFY24

diyana

11/08/2023 - 14:46

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Glostrext Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.46 juta, dan pendapatan RM6.43 juta, bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24).

Pendapatan sesahan (EPS) kumpulan pula adalah sebanyak 0.48 sen.

Tiada perbandingan tahun ke tahun memandangkan ini merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan instrumentasi geoteknikal itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pengarah Urusan Glostrext, Dr Lee Sieng Kai berkata pendapatan syarikat pada suku berakhir 30 Jun 2023 ini didorong terutamanya oleh segmen perkhidmatan instrumentasi cerucuk dan ujian beban statik, yang menyumbang RM5.37 juta atau 83.5%.

Manakala segmen perkhidmatan instrumentasi serta pemantauan struktur dan tanah menyumbang RM940,000 atau 14.6%.

Mengikut lokasi geografi, beliau berkata Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar pendapatan syarikat untuk tawaran perkhidmatan instrumentasi geoteknikalnya, menyumbang RM4.6 juta, diikuti Malaysia (RM1.81 juta) dan Kemboja (RM20,000).

“Peningkatan dalam perbelanjaan awam dan swasta bagi pembangunan infrastruktur di rantau ini dijangka memacu pertumbuhan pasaran instrumentasi dan pemantauan geoteknik.

"Kami berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pendapatan dan keuntungan dalaman kami untuk FY24," kata Lee.

Lee berkata Glostrext akan memberi tumpuan kepada usaha mempromosi perkhidmatan instrumentasi serta pemantauan struktur dan tanah di luar tapak menggunakan platform WiNA di Singapura, kerana ia melihat peluang dalam menyediakan data pemantauan masa nyata, sejajar dengan kemajuan teknologi.

Pada masa ini, perkhidmatan instrumentasi cerucuk dan ujian beban statik terutamanya disediakan kepada pelanggan di Malaysia dan Singapura, manakala perkhidmatan instrumentasi serta pemantauan struktur dan tanahnya disediakan terutamanya kepada pelanggan di Malaysia.

Glostrext dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Ogos. - DagangNews.com