
KUALA LUMPUR 10 Dis – Kadar pengangguran negara pada Oktober 2025 kekal pada paras 3%, melibatkan 518,900 penganggur, mencerminkan pasaran buruh yang terus stabil di tengah-tengah aktiviti ekonomi domestik yang rancak, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata momentum pasaran buruh kekal positif dipacu pertumbuhan guna tenaga yang berterusan serta kadar pengangguran yang rendah.
“Sehubungan itu, tenaga buruh meningkat 0.2% bulan ke bulan kepada 17.58 juta orang berbanding 17.54 juta orang pada September, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal 70.9% seperti direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2% kepada 17.06 juta orang pada Oktober 2025, berbanding 17.03 juta orang pada September, selari dengan pertambahan aktiviti ekonomi merentas sektor utama.
“Pada masa yang sama, bilangan penganggur naik sedikit 0.1% kepada 518,900 orang berbanding 518,600 orang pada September 2025,” katanya.
Dari segi struktur pekerjaan, kategori pekerja merangkumi 74.8% daripada jumlah penduduk bekerja, dengan kumpulan ini meningkat 0.1% kepada 12.76 juta orang berbanding 12.74 juta orang pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.4% kepada 3.25 juta orang, berbanding 3.24 juta orang pada September.
Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun 1.4% kepada 233,200 orang pada Oktober 2025, berbanding 236,500 orang pada September.
“Seiring itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa turut berkurang 1.7% kepada 126,400 orang, dengan kadar guna tenaga tidak penuh direkodkan 0.7% berbanding 128,600 orang pada September,” katanya.
Beliau berkata prospek pasaran buruh Malaysia bagi tempoh akan datang dijangka terus berdaya tahan dan positif, disokong oleh pertumbuhan ekonomi sederhana, pelaburan strategik serta pembangunan modal insan. - DagangNews.com

