Kadar sewa premis perniagaan milik MARA, UDA, PBT dikurangkan

LocalBusiness & Finance
5 May 2026 • 3:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kadar sewa premis perniagaan milik MARA, UDA, PBT dikurangkan
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) berkuat kuasa serta-merta bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diputuskan bagi meringankan beban peniaga kecil dan penjaja susulan tekanan kos akibat krisis bekalan global yang kian meruncing.

"Saya fikir langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengurangkan kadar sewa. Kebanyakan kedai ini dimiliki oleh syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA. Mulai bulan ini juga, kadar sewa di semua premis perniagaan mereka akan dikurangkan dan diumumkan dalam masa terdekat," katanya menerusi sidang akhbar Krisis Bekalan Global di sini pada Selasa.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri turut digesa mengambil langkah sama bermula bulan ini.

"Meneladani langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menurunkan kadar sewaan, saya ingin menyeru semua pihak berkuasa tempatan di negeri-negeri untuk menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang telah menyambut secara positif dan mengumumkan dalam masa terdekat untuk menurunkan kadar sewa di semua premis perniagaan, terutama perniagaan kecil, penjaja dan kedai makanan," jelas beliau.

Menurut Anwar, pengalaman turun padang bertemu peniaga kecil menjadi antara faktor kerajaan mempercepatkan tindakan berkenaan.

“Minggu lalu sebelum solat Jumaat, saya ke warung makan di Rawang dan kakak itu, walaupun dengan cara baik dan sopan, saya merasai keluhannya kerana terpaksa berdepan dengan kos barangan yang meningkat,” katanya.

Ujar Menteri Kewangan itu, walaupun kenaikan dilihat kecil, ia memberi kesan berpanjangan kepada pengusaha kecil yang berdepan kos operasi meningkat setiap minggu.

“Tapi (kenaikan harga barangan) sedikit tiap minggu, jadi kalau sudah empat minggu berterusan, tentunya mengesankan dan menyukarkan perniagaan beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan mengambil pendekatan segera dengan mengurangkan beban kos tetap yang ditanggung peniaga, khususnya sewa premis.