Kadar sewa premis turun bantu usahawan terus bertahan - DPPM

LocalBusiness & Finance
5 May 2026 • 6:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kadar sewa premis turun bantu usahawan terus bertahan - DPPM
Amirudin

IPOH – Langkah penurunan kadar sewa premis perniagaan oleh kerajaan Persekutuan dilihat mampu membantu usahawan untuk terus bertahan walaupun berdepan margin keuntungan yang kecil.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Amirudin Tajudin berkata, penurunan kadar sewa tersebut juga berpotensi membantu peniaga menstabilkan harga jualan kepada pengguna atau sekurang-kurangnya mengelakkan sebarang kenaikan.

“DPPM menyambut baik langkah ini yang sudah pasti meringankan beban kos operasi peniaga yang kini terkesan dengan kenaikan harga bahan api serta tekanan kos semasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian susulan arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan UDA Holdings Berhad (UDA) yang menguruskan premis perniagaan menurunkan kadar sewaan berkuat kuasa bulan ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai sebahagian usaha meringankan kos operasi peniaga kecil.

Mengulas lanjut, Amirudin berharap langkah berkenaan akan turut diikuti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan manfaatnya lebih meluas.

“Kalau boleh, syarikat swasta juga mengambil pendekatan sama kerana rantaian daripada itu akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.