Kadar tambang RTS Link JB-Singapura diumum Januari depan

25 Nov 2026 • 1:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kadar tambang RTS Link JB-Singapura diumum Januari depan

ISKANDAR PUTERI: Kadar tambang perkhidmatan Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura bagi perjalanan sehala dan pergi balik dijangka diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kadar tambang berkenaan masih dibincang dan penelitian pihak berkaitan.

Beliau berkata, perbincangan membabitkan RTS Operations Pte Ltd (RTSO) serta kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Setakat ini, kadar tambang rasmi bagi perjalanan sehala atau pergi balik belum dimuktamadkan. Berdasarkan perancangan semasa, kadar tambang dijangka diumumkan MOT pada Januari 2027, sebelum perkhidmatan RTS Link memulakan operasi pada Februari tahun sama,” katanya ketika menjawab soalan Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-16 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri memahami kepentingan kadar itu terutama kepada pekerja yang menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura.

Katanya, kerajaan negeri berharap kadar yang diumumkan kelak mengambil kira kemampuan serta keperluan pengguna harian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor untuk bekerja di Singapura.

Justeru, katanya, persediaan menghadapi pengoperasian RTS Link perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan tumpuan kepada penyediaan bas pengantara, kemudahan sambungan perjalanan serta pengurusan trafik di Greater Johor Bahru.

RTS Link dijangka mula beroperasi pada Februari 2027, selepas semua ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Disember ini.

Perkhidmatan itu dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Sistem itu akan menghubungkan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

The post Kadar tambang RTS Link JB-Singapura diumum Januari depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved