
Aktiviti menangkap ketam mungkin kedengaran seperti hobi yang lebih sinonim dengan golongan lelaki, namun bagi Kaitlyn Bui, 28, ia menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya.
Pada awal pagi, wanita berasal dari San Francisco, Amerika Syarikat itu sudah berada di Ocean Beach dengan lengkap berpakaian baju kalis air sehingga ke lutut sambil membawa perangkap jerat Hello Kitty miliknya.
Diisi dengan ikan kembung beku dan sotong sebagai umpan, perangkap kecil itu membolehkan Kaitlyn menangkap sehingga empat ekor ketam batu pada setiap balingan.
Siapa sangka, hobi yang bermula ketika pandemik Covid-19 itu kini menjadikan Kaitlyn antara pempengaruh aktiviti menangkap ketam terbesar di media sosial dengan lebih 800,000 pengikut di Instagram dan 28 juta tanda suka di TikTok.
Semuanya bermula ketika Kaitlyn masih mengikuti kelas secara dalam talian dan tinggal bersama ibu bapa serta tiga abangnya di Sunset District.
Bosan terperuk di rumah, dia sering berjalan di sepanjang Ocean Beach untuk mendapatkan udara segar. Pada suatu hari, dia terlihat sekumpulan lelaki berusia sedang menangkap ketam.
Didorong perasaan ingin tahu, Kaitlyn menghampiri mereka untuk bertanya cara ketam ditangkap.
Namun, pertanyaannya itu disambut dengan gelak tawa seorang lelaki yang memberitahunya bahawa ‘gadis comel’ sepertinya tidak perlu memikirkan perkara tersebut.
Disebabkan rasa ingin tahu dan tercabar dengan kata-kata itu, Kaitlyn nekad mempelajari sendiri teknik menangkap ketam.
“Pelik juga apabila memikirkan kita tinggal di sebuah bandar besar dengan pantai yang luas tetapi tidak ramai memanfaatkannya.
“Rasanya seperti satu kerugian kalau kita sendiri tidak keluar dan menikmatinya,” katanya seperti dipetik dalam laman web, SF Gate.
Selepas beberapa tahun mengasah kemahiran, Kaitlyn mula merakam aktiviti tersebut dan berkongsi pengalamannya di platform TikTok.
Pada tahun 2023, videonya mula tular sehingga meraih jutaan tontonan.
Populariti itu membawa Kaitlyn menyertai sebuah agensi bakat, sebelum akhirnya meninggalkan rancangan itu untuk mengikuti program perubatan di Universiti California, Riverside.
Namun, perubahan paling ketara yang dapat dilihatnya adalah semakin ramai wanita muda mula mencuba hobi tersebut.
Jika suatu ketika dahulu, Kaitlyn merupakan satu-satunya wanita muda yang menangkap ketam.

Kini, rakan-rakan nelayannya turut memberitahu, semakin ramai wanita sepertinya muncul di sekitar Bay Area.
Trend itu turut melibatkan aktiviti memancing dan mencari moluska.
Pentadbir kumpulan Facebook Bay Area Fishing, Kevin Smith berkata, penyertaan golongan berusia 18 hingga 29 tahun meningkat sebanyak 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi golongan muda, aktiviti itu bukan sahaja murah dan mudah dipelajari, malah menjadi peluang untuk menikmati alam semula jadi, mendapatkan makanan laut serta bersosial tanpa perlu melibatkan minuman keras.
“Saya rasa apabila generasi kami semakin meningkat usia, mereka sudah tidak mahu duduk di dalam rumah sepanjang masa.
“Mereka sebenarnya mahu keluar dan menikmati alam semula jadi,” ujar Kaitlyn.
Fenomena itu jelas kelihatan di Torpedo Wharf iaitu berhampiran Jambatan Golden Gate, termasuk kemunculan sekumpulan wanita yang dikenali sebagai ‘Baddies Who Crab’. Bermula dengan rasa ingin tahu dan sindiran seorang lelaki, Kaitlyn kini bukan sekadar menemui hobi yang dicintainya.
Tanpa disangka, dia turut membantu mengubah persepsi terhadap aktiviti menangkap ketam, dan membawa generasi baharu, khususnya wanita muda turun ke pantai untuk mencubanya.
The post Kaitlyn berjaya galak belia tangkap ketam appeared first on Kosmo Digital.
