
PETALING JAYA – Pelaksanaan dasar yang membenarkan kanak-kanak enam tahun memasuki tahun satu bakal mendorong institusi pengajian tinggi (IPT) merombak semula kurikulum kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan berkata, apabila pendidikan formal kanak-kanak berusia enam tahun diambil alih secara drastik dalam sistem persekolahan rendah arus perdana, IPT perlu menganjakkan fokus akademik mereka.
Menurutnya, ini merangkumi daripada sekadar persediaan prasekolah (membaca, mengira, menulis) kepada pengkhususan penjagaan dan perkembangan bayi serta kanak-kanak bawah umur empat tahun (taska).
“Rombakan kurikulum ini juga akan memberi penekanan mendalam terhadap bidang Intervensi Awal dan Pendidikan Keperluan Khas (SEN) bagi melengkapkan graduan dengan kemahiran menangani isu-isu seperti autisme dan kelewatan pertuturan yang semakin mendapat perhatian ibu bapa moden.
“Selain itu, program PAKK di institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu perancangan menyeluruh untuk meningkatkan tahap kelayakan dan kualitinya selaras dengan unjuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN 2026-2035) dan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) yang meletakkan ijazah sarjana muda sebagai standard asas tenaga pengajar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, kursus-kursus ini akan mengintegrasikan literasi digital, kemahiran pemikiran komputasional (kod dan robotik asas), dan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) bagi menyokong pendekatan pembelajaran berasaskan bermain.
Abdul Halim berkata, kesan pengurangan murid enam tahun di tadika swasta pula menuntut IPT untuk memperkenalkan modul pengurusan perniagaan dan keusahawanan pendidikan dalam kursus mereka.
“Memandangkan pengusaha tadika swasta terpaksa mengubah model perniagaan untuk terus bertahan, graduan IPT akan dilatih untuk menguruskan ekosistem perkhidmatan baharu seperti penubuhan pusat transit selepas sekolah berprestasi tinggi dan pusat pengayaan (enrichment centre).
“Melalui latihan ini, IPT dapat membekalkan tenaga pakar yang mampu merangka kurikulum luar waktu sekolah awam yang holistik dan pelbagai kemahiran.
“Ini sekali gus membantu sektor swasta untuk kekal relevan dengan melengkapi bakal pendidik PAKK dengan transisi pasekolah ke sekolah rendah dan bukan lagi bersaing dengan sistem sekolah kebangsaan sedia ada,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun wujud kebimbangan mengenai lambakan graduan berbanding peluang terhad di sektor awam, pasaran pekerjaan di sektor swasta bagi graduan PAKK sebenarnya sedang berkembang luas ke dalam sub-sektor yang lebih khusus.
Beliau berkata, ibu bapa hari ini sanggup berbelanja lebih untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat pendidikan swasta yang menawarkan nilai tambah premium seperti kelas dwibahasa, kaedah Montessori, dan sokongan emosi berbanding tadika konvensional.
Katanya, justeru itu ia dapat membuka peluang pekerjaan bergaji lebih kompetitif untuk graduan berijazah.
“Lebih menarik lagi, skop kerjaya graduan PAKK kini tidak lagi terkurung di dalam bilik darjah sahaja, malah telah menembusi sektor korporat dan teknologi,” katanya.
The post Kaji kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak agar kekal relevan appeared first on Kosmo Online.




