
LABUAN: Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan (LICCI) meminta kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula penamatan pengambilan pekerja asing secara berperingkat terhadap tiga subsektor yang berkuat kuasa mulai Rabu lepas.
Tiga subsektor perniagaan yang menjadi tradisi masyarakat India adalah tekstil, kedai gunting rambut dan tukang emas.
Pengerusi LICCI Datuk Dahlif Singh berkata penamatan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk mengupah pekerja asing akan menjurus kepada penutupan perniagaan tersebut.
“Dewan perniagaan kami mewakili perniagaan India di Labuan sejak menjadi pulau bebas cukai selama beberapa dekad dan kecewa menyaksikan penutupan perniagaan tersebut yang selama ini bergantung kepada pekerja asing,” katanya.
Antara perniagaan di Labuan yang bergantung kepada khidmat pekerja asing dari India ialah Kedai Gunting Wahab, Labuan Textile, Kain Mewah dan kedai tukang emas.
Beliau berkata ketika ini lebih 200 pekerja asing India berkhidmat dalam sektor ini di Labuan.
Dahlif berkata warga tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor ini, sekali gus menyukarkan peniaga untuk meneruskan perniagaan.
“Selepas pandemik Covid-19 berakhir, kami menyaksikan perpindahan penduduk tempatan ke bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu dan semenanjung untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.
“Labuan tidak sama seperti bandar-bandar besar lain di negara ini yang mempunyai banyak penduduk dan mudah mendapatkan pekerja.
“Kami memohon kerajaan memberikan kelonggaran kepada sektor-sektor ini untuk kekal menggajikan pekerja asing agar terus bertahan,” katanya.
Ketiga-tiga sektor ini tidak dibenarkan mengambil pekerja asing sejak 2009, dan bermula 15 Mac, Jabatan Imigresen mengeluarkan arahan baharu bahawa majikan tidak lagi dibenarkan memperbaharu pas lawatan pekerja sementara melibatkan pekerja asing sedia ada.
Jabatan Imigresen pada 7 Februari tahun ini mengeluarkan surat pekeliling kepada semua pengarah imigresen negeri dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang menyatakan jabatan itu akan menamatkan pembaharuan pas lawatan kerja sementara kepada ketiga-tiga subsektor ini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
