Kaji, wujudkan lebih banyak peluang kerja untuk warga emas: ADN

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kaji, wujudkan lebih banyak peluang kerja untuk warga emas: ADN

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri disaran mengkaji dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga emas yang masih berupaya bekerja bagi membantu mereka menjana pendapatan serta hidup berdikari.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee berkata ramai individu berusia 60 tahun ke atas yang hadir ke pusat khidmatnya bukan untuk memohon bantuan kebajikan, sebaliknya mendapatkan panduan bagi mencari pekerjaan.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan masih ramai warga emas mahu terus bekerja dan memperoleh pendapatan sendiri untuk menampung keperluan harian.

“Ramai warga emas yang datang berjumpa saya di pusat khidmat bukan meminta bantuan kewangan tetapi mereka memerlukan pekerjaan untuk mencari pendapatan sendiri.

“Ini memberi isyarat bahawa Kerajaan Negeri perlu mengkaji kaedah yang sesuai untuk membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan,” katanya ketika membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Image from: Kaji, wujudkan lebih banyak peluang kerja untuk warga emas: ADN
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Tony Leong Tuck Chee. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuan warga emas juga dapat membantu meningkatkan kesejahteraan golongan itu.

Pada masa sama, Tuck Chee turut membangkitkan isu pendaftaran baharu Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang masih belum dibuka sehingga kini.

“SMUE begitu bermanfaat kepada warga emas. Sekarang sudah bulan Jun, saya harap ia dibuka supaya lebih ramai warga emas dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bagi Program Kerjaya Selangor yang memberi keutamaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun ini.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta syarikat dalam sektor peruncitan, pembuatan dan logistik itu menyasarkan penyertaan 30,000 pencari kerja di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.

Secara keseluruhan, Selangor memperuntukkan RM355.06 juta bagi melaksanakan pakej berkenaan merangkumi dua fasa, iaitu RM145.8 juta bagi fasa pertama melibatkan tujuh inisiatif dan RM209.26 juta bagi fasa kedua melalui 15 inisiatif tambahan.

Pakej itu diperkenalkan bagi membantu rakyat, usahawan, petani, nelayan, pencari kerja dan pemain industri menghadapi cabaran akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved