Kajian dapati Malaysia rugi RM8 bilion gara-gara jerebu Indonesia

LocalEnvironment
30 Oct 2026 • 9:05 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kajian dapati Malaysia rugi RM8 bilion gara-gara jerebu Indonesia

HONG KONG – Asap daripada kebakaran hutan dan tanah gambut Indonesia pada tahun ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kebajikan mencecah AS$1.97 bilion(RM8 bilion), menyumbang kepada anggaran 1,700 kematian dan menjejaskan sektor pembuatan secara serius, demikian menurut laporan kelolaan kumpulan industri utama negara itu yang dipetik  akhbar South China Morning Post semalam.

Laporan bertajuk Musim Kebakaran 2026 dan Jerebu Rentas Sempadan di Malaysia itu dilakukan untuk Persekutuan Pengilang-Pengilang  Malaysia (FMM), seperti  dilaporkan akhbar Malay Mail.

Ia menyebut bahawa angka diberikan mencerminkan kebajikan sosial yang lebih luas dan bukannya kerugian hasil ekonomi atau keluaran dalam negara kasar, dan tidak sepatutnya ditambah kepada kerugian kewangan lain.

Berdasarkan data satelit, pemantauan kualiti udara dan pemodelan atmosfera, kajian itu menjejaki kesan jerebu berpanjangan dari 1 Julai hingga 22 Oktober lalu.

Ia menyatakan, pendedahan jangka pendek kepada zarah halus kebakaran hutan dan tanah menyumbang kepada anggaran 1,700 kematian pramatang. Angka yang diberikan bagaimanapun berpandukan  model statistik dan bukannya kematian yang disahkan secara individu.

Kajian sama  juga meninjau 86 kemudahan gabungan FMM, dengan 81 daripadanya adalah kilang perindustrian.

Daripada jumlah tersebut,   59 premis melaporkan gangguan operasi, dengan 26 peratus menggambarkan kesannya sebagai sederhana atau ketara. 

Dalam kalangan premis yang terjejas pula, 81 peratus melaporkan peningkatan pengambilan cuti sakit dan ketidakhadiran berkaitan masalah kesihatan, manakala 63 peratus melaporkan  penutupan sekolah akibat jerebu mengurangkan ketersediaan tenaga kerja.

Tambahan 14 peratus lagi mengalami gangguan syif, kelewatan pengeluaran atau kesesakan penghantaran yang disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja.

Dalam kalangan pengilang yang melaporkan kesan operasi, 37 peratus mencatatkan pengeluaran lebih rendah, dan 27 peratus terpaksa menutup sekurang-kurangnya satu laluan pengeluaran secara sementara.

Laporan itu mengambil maklum bahawa kajian yang dilakukan tidak mewakili  industri pembuatan di Malaysia secara keseluruhan, kerana maklum balas tertumpu di pusat perindustrian Selangor dan Pulau Pinang, dengan hanya dua premis dari Sarawak.

Di luar sektor perindustrian, penutupan sekolah yang disebabkan oleh pencemaran udara mengakibatkan kehilangan anggaran 8.4 juta hingga 13.4 juta hari persekolahan murid,  ditakrifkan sebagai jumlah kumulatif hari persekolahan rasmi yang terlepas bagi semua murid yang terjejas. – AGENSI

 

The post Kajian dapati Malaysia rugi RM8 bilion gara-gara jerebu Indonesia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved