
JAKARTA – Jerebu tebal yang terus menyelubungi ruang udara disebabkan oleh kebakaran hutan dan tanah gambut mendorong pihak berkuasa Indonesia mempertimbangkan kaedah eksperimental untuk melenyapkan asap toksik tersebut, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Satu ujian dilakukan semalam, menyaksikan sebuah pesawat menyebarkan pelet ais kering ataupun pepejal karbon dioksida ruang udara wilayah Sumatera Selatan, antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat jerebu.
Indonesia kini berdepan musim kebakaran hutan paling kritikal dalam tempoh sedekad, apabila fenomena cuaca kering El Nino yang luar biasa memburukkan lagi keadaan kemarau dan menyebabkan api kebakaran lebih sukar dipadamkan.
Di tengah-tengah usaha yang semakin terdesak untuk membersihkan pencemaran udara itu, pihak berkuasa di Indonesia dan negara jirannya, Malaysia, telah beralih kepada pelbagai kaedah termasuk pembenihan awan.
Pembenihan awan merujuk kepada teknik mempercepatkan proses semula jadi kondensasi wap air di dalam awan dengan menyebarkan sebatian seperti perak iodida untuk mendorong hujan.
Pihak berkuasa telah menjalankan operasi sedemikian selama beberapa minggu.
Namun, ujian ais kering yang dilakukan hari ini jauh berbeza.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman berkata, ia bukannya berinteraksi dengan awan untuk mencetuskan hujan, ais kering ini bertujuan untuk ‘memecahkan’ jerebu di atmosfera bahagian bawah ‘supaya ia boleh naik ke atas’.
“Sekiranya ujian ini berjaya, kami akan meneruskannya di kawasan lain yang menjadi punca utama jerebu, seperti Kalimantan Tengah dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, ujian tersebut bakal melibatkan 1.5 tan ais kering. – AGENSI
The post Indonesia buat eksperimen, sembur ais kering lawan jerebu appeared first on Kosmo Online.





