
PETALING JAYA, 28 SEPT: Terdapat jurang ketara antara jangkaan pelajar dan penilaian majikan terhadap tahap kesiapsiagaan graduan baharu memasuki alam pekerjaan berdasarkan tinjauan REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026.
Tinjauan mendapati 41.6 peratus responden pelajar menganggap tempoh antara satu hingga tiga bulan sebagai jangka masa realistik untuk graduan baharu mula memberi sumbangan bernilai kepada organisasi, berbanding hanya 2.9 peratus majikan yang berpandangan sama.
Selain itu, 62 peratus pelajar berpendapat universiti telah menyediakan mereka dengan baik untuk memasuki alam pekerjaan, namun hanya 32.3 peratus majikan bersetuju.
Pengerusi REHDA Institute, Dato’ Jeffrey Ng Tiong Lip berkata kelayakan universiti penting, namun golongan muda juga perlu memahami cara organisasi berfungsi, proses membuat keputusan dan jangkaan majikan.
“Di sinilah RIYI memainkan peranan penting dengan mendekatkan pelajar kepada industri melalui penglibatan secara langsung dan bimbingan mentor, di samping membantu mereka membangunkan pertimbangan, daya tahan, kemahiran komunikasi dan kebolehsuaian yang diperlukan untuk membina kerjaya yang mampan,” katanya.
REHDA Institute berkata dapatan kajian menunjukkan keperluan memperkukuh kerjasama universiti dan industri bagi memberi pendedahan lebih awal kepada pelajar mengenai realiti tempat kerja, terutama ketika kecerdasan buatan (AI) mengubah kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.
Dalam pada itu, 76.4 peratus pelajar yang ditinjau menyatakan mereka menggunakan alat AI secara kerap, manakala 50 peratus majikan menjangkakan AI akan mengurangkan jumlah jawatan peringkat permulaan yang ditawarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Laporan turut menekankan kepentingan kemahiran digital, pertimbangan praktikal, penyelesaian masalah dan kebolehsuaian.
Tinjauan itu juga menemukan persamaan antara pelajar dan majikan dalam pembangunan kerjaya apabila 79.4 peratus majikan bersedia menyediakan latihan berstruktur serta laluan kerjaya yang jelas sebagai pertukaran kepada komitmen pekerja untuk kekal dalam organisasi bagi tempoh dipersetujui, berbanding 67.6 peratus pelajar yang bersedia menerima pengaturan itu.
Dapatan berkenaan merupakan sebahagian daripada laporan rumusan RIYI 2026 yang menghimpunkan maklum balas pelajar dan graduan baharu daripada lebih 21 universiti serta majikan. Bagaimanapun, REHDA Institute menjelaskan tinjauan bersasar itu memberikan gambaran mengenai jangkaan graduan dan perspektif majikan, dan tidak mewakili keseluruhan populasi nasional.
Dapatan RIYI turut selari dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026-2030, yang menggariskan penyelarasan program pendidikan tinggi dengan keperluan industri, peningkatan penglibatan industri dalam pembangunan bakat serta kerjasama sektor awam, industri dan akademia bagi melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran teknologi termaju. RMK13 turut menyasarkan purata pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030.



