Majoriti kementerian belum capai sasaran 1 peratus pekerja OKU

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 7:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Majoriti kementerian belum capai sasaran 1 peratus pekerja OKU

SHAH ALAM – Peluang pekerjaan golongan kurang upaya (OKU) dalam sektor awam masih terbatas apabila hanya tujuh kementerian memenuhi sasaran pengambilan satu peratus pekerja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran itu ditetapkan bagi memastikan lebih ramai golongan OKU berkhidmat dalam sektor awam.

Katanya, tujuh kementerian yang mencapai sasaran itu ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Digital, Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Kementerian Komunikasi dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ia hanya satu dasar tetapi kami tidak mewajibkan kementerian untuk mengambil golongan ini bekerja.

“Kami hanya boleh galakkan mereka untuk merekrut sebanyak boleh golongan OKU,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan Program Able for Disable di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nancy menyeru kementerian lain supaya turut memenuhi sasaran tersebut bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan OKU, sekali gus membantu mereka memperoleh pendapatan tetap.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyeru semua kementerian supaya menyokong usaha berkenaan.

Dalam pada itu, Nancy berkata, sektor swasta juga semakin terbuka memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU.

Katanya, pertambahan pekerja OKU kini dapat dilihat khususnya dalam sektor perkhidmatan serta makanan dan minuman (F&B).

“Untuk sektor swasta, kerajaan tidak mewajibkan mereka mengambil OKU bekerja. Kami hanya menggalakkan mereka supaya golongan ini diberi peluang pekerjaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Majoriti kementerian belum capai sasaran 1 peratus pekerja OKU appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved