SHAH ALAM, 22 NOV: Kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang menumpukan keperluan menyeluruh jaringan pengangkutan awam kini dalam peringkat akhir penyediaan, kata EXCO mobiliti.
Tidak hanya melibatkan mod pengangkutan seperti bas, rel, teksi atau e-panggilan sahaja, pelan itu termasuk kemudahan hentian, mikromobiliti, e-skuter dan laluan pejalan kaki, jelas Ng Sze Han.
Menurutnya, usaha itu bagi menambah baik infrastruktur dan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam di Selangor untuk mencapai sasaran 60 peratus penggunaan menjelang 2035.
“Pelan ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyediaan perkhidmatan jaringan pengangkutan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan rangkaian ‘First Mile, Last Mile’.

“Berdasarkan data terkini, purata penggunaan harian pengangkutan awam di Selangor sekitar 1.1 juta penumpang, termasuk perkhidmatan dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad,” katanya.
Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri, Sze Han berkata inisiatif negeri memperkenal Bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (DRT) meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Katanya, projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama, hingga Johan Setia, yang dijangka beroperasi 1 Mac 2025 juga meningkatkan penggunaan kemudahan itu.
Menerusi Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM20 juta bagi mengoptimum perkhidmatan Bas Smart Selangor dan DRT tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu termasuk menambah zon baharu dan konsep pelaksanaan lebih meluas dengan pengendali perkhidmatan.
The post Kajian hampir siap, bantu capai sasaran 60 peratus guna pengangkutan awam appeared first on Selangorkini.





