Kajian Hospital Mara selesai dalam tempoh tiga bulan

LocalHealth & Fitness
12 Oct 2026 • 11:24 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kajian Hospital Mara selesai dalam tempoh tiga bulan

KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan penubuhan Hospital Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan sebelum langkah prapelaksanaan dimulakan, termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kajian itu merangkumi aspek keperluan dan permintaan, lokasi, kapasiti serta skop perkhidmatan, tenaga profesional, kos dan pembiayaan, selain keperluan perundangan dan kawal selia.

Beliau berkata, Mara telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai pakar dan golongan profesional, termasuk alumni Mara serta tenaga pakar dalaman, bagi meneliti kebolehlaksanaan dan model pelaksanaan hospital berkenaan.

“Cadangan penubuhan Hospital Mara pada masa ini sedang dalam penelitian dan kajian yang teliti dan menyeluruh, merangkumi aspek keperluan dan permintaan, lokasi, kapasiti dan skop perkhidmatan, tenaga profesional, kos dan pembiayaan, serta keperluan perundangan dan kawal selia, di samping keselarasan dengan mandat Mara.

“Pihak Mara telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada pakar dan profesional termasuk dari kalangan alumni Mara dan kepakaran dalaman bagi mengkaji berkaitan kebolehlaksanaan dan model pelaksanaan Hospital Mara tersebut.

“Dijangkakan kajian ini akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sebelum kerja-kerja pra-pelaksanaan dijalankan termasuk mendapatkan kelulusan-kelulusan yang diperlukan.

“Penubuhan sebuah hospital merupakan cadangan yang kompleks dan memerlukan kajian yang sangat teliti. Oleh yang demikian, perkara berkaitan lokasi, kapasiti katil, bidang kepakaran, anggaran kos, sumber pembiayaan dan tarikh operasi masih sedang diperhalusi dan belum diputuskan pada masa ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kerajaan menjelaskan justifikasi strategik penubuhan Hospital Mara pertama serta status perancangan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, Mara ketika ini terus memberi tumpuan kepada pembangunan sektor kesihatan negara melalui dua teras utama, iaitu penyediaan modal insan dalam bidang perubatan dan kesihatan serta pembangunan usahawan profesional.

Katanya, pembangunan modal insan dilaksanakan menerusi ekosistem pendidikan Mara termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan TVET Mara.

Sementara itu, pembangunan usahawan profesional diteruskan menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) di bawah jenama U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental.

“Setakat ini, program berkenaan telah melahirkan 180 usahawan dengan 160 cawangan di seluruh negara.

“Mara akan terus memperkukuh kedua-dua ekosistem ini bagi menyokong keperluan tenaga kerja dan perkhidmatan kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN 

 

 

The post Kajian Hospital Mara selesai dalam tempoh tiga bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved