Tiga gelombang Monsun Timur Laut diramal landa Pantai Timur

LocalEnvironment
11 Oct 2026 • 11:49 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga gelombang Monsun Timur Laut diramal landa Pantai Timur

KUALA TERENGGANU: Tiga gelombang hujan diramal berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL)  bermula bulan depan hingga Mac tahun depan di negeri-negeri Pantai Timur semenanjung.

Fasa peralihan monsun dijangka berakhir pada hujung bulan ini sebelum musim tengkujuh bermula bulan depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, persediaan awal dilakukan menerusi pengaktifan operasi MTL di semua balai bomba di negeri ini bagi memastikan aset, peralatan dan logistik berada pada tahap optimum menghadapi gelombang-gelombang hujan berkenaan.

Katanya, JBPM Terengganu mempunyai kekuatan seramai 1,036 anggota serta 79 aset kenderaan darat dan marin bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir dan bencana sepanjang musim tengkujuh.

“Jumlah aset itu merangkumi 34 kenderaan darat dan 45 bot yang akan digunakan untuk membantu operasi menyelamat, pemindahan mangsa serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.

“Persediaan ini penting bagi memastikan segala keperluan operasi dapat dipenuhi sepanjang musim tengkujuh, khususnya apabila berdepan situasi kecemasan dan bencana banjir,” katanya ketika meninjau persiapan menghadapi MTL di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, di sini.

Nor Mahathir berkata, sebanyak 460 kawasan berisiko banjir dikenal pasti di lapan daerah di Terengganu dengan jumlah itu tidak berubah berbanding musim tengkujuh sebelum ini.

Katanya, semua balai bomba daerah bertanggungjawab memantau kawasan berkenaan dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang diselaraskan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – UTUSAN

The post Tiga gelombang Monsun Timur Laut diramal landa Pantai Timur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved