Red Hat, syarikat pembekal perkhidmatan perisian IT sumber terbuka untuk syarikat-syarikat korporat dan National AI Office Malaysia (NAIO) baru-baru ini telah memperlihatkan kajian tentang integrasi teknologi kecerdasan buatan dalam perniagaan berskala ,mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Sebanyak 133 syarikat PMKS yang telah berdaftar dibawah rangkaian Malaysia Digital Economy Company (MDEC) telah ditinjau oleh kedua-dua syarikat ini, dan ia dikatakan bahawa sekitar 44 peratus dari mereka mahu penggunaan AI untuk meningkatkan pertumbuhan syarikat tanpa meningkatkan kos kepada syarikat. Dan sinilah dimana penggunaan teknologi AI sumber terbuka masuk untuk membantu syarikat-syarikat ini.

Syarikat-syarikat ini juga semuanya dilihat telah mengimplimentasi penggunaan teknologi AI sumber terbuka dalam pelbagai tahap. 36 peratus daripada syarikat-syarikat yang ditinjau sudahpun memperkenalkan projek perintis yang menggunakan teknologi AI, tetapi hanya 21 peratus daripada mereka telah menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan pertumbuhan dan menambah keuntungan kepada syarikat masing-masing.
Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana 60 peratus daripada syarikat yang ditinjau turut mengatakan bahawa kepakaran dalam pembangunan teknologi AI adalah rintangan terbesar untuk mereka, manakala 52 peratus daripada mereka menyatakan kos dan implimentasi teknologi adalah penghalang yang besar.

“Red Hat bersedia untuk membantu menyokong pertumbuhan PMKS di Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan sumber terbuka dengan gabungan AI. Dengan mengurangkan jurang kemahiran, kos infrastruktur dan penguncian vendor, sumber terbuka boleh memperkasakan sektor PMKS untuk bereksperimen, menyesuaikan dan meningkatkan skala AI dengan lebih bertanggungjawab. Kerjasama kami dengan NAIO menyelaraskan visi ini dengan strategi AI kebangsaan Malaysia menyediakan syarikat-syarikat ini dengan kelengkapan dan keyakinan untuk memperlihatkan impak positif kepada syarikat melalui AI.” menurut Albert Chai, Pengurus Besar Asia Tenggara untuk Red Hat.
Kajian ini juga menekankan bahawa mencapai kematangan pembangunan teknologi AI di Malaysia memerlukan usaha yang diselaraskan merentasi pihak kerajaan, industri dan pengajian. Syarikat-syarikat ini mengatakan bahawa sokongan dari segi ekosistem, pembiayaan dan insentif yang menyeluruh daripada pihak kerajaan dan pembekal teknologi adalah penting untuk pertumbuhan yang mampan.

