Kajian TikTok Sedar Yang Aplikasi Mereka Memberi Kesan Buruk Kepada Pengguna Remaja

TechnologyDigital
14 Oct 2024 • 2:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Menurut laporan Statista, sejak Julai 2024 – TikTok kini mempunyai lebih 1.58 bilion pengguna dan merupakan platform media sosial kelima dengan jumlah pengguna paling banyak. Walaupun begitu, tidak semua kandungannya sesuai untuk ditonton umum dan aplikasi turut boleh menyebabkan ketagihan yang menjadi faktor terhadap masalah kesihatan mental pengguna remaja. Terbaru, TikTok dilaporkan sedar akan aplikasi mereka merbahaya.

Dalam kajian yang dilakukan oleh pasukan TikTok sendiri, mereka dilaporkan sekian lama menyedari yang aplikasi mereka memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna remaja. Antara masalah yang dikesan boleh berlaku adalah kehilangan kemahiran analitikal, pembentukan memori, pemikiran kontekstual, kedalaman perbualan, empati, dan peningkatan kebimbangan. Walaupun TikTok sedia menyertakan pelbagai ciri untuk mengawal kandungan merbahaya dan mengurangkan ketagihan penggunaan aplikasi – TikTok didapati hanya mengurangkan penggunaan kepada sekitar 1.5 minit sehari.

image is not available

Di Malaysia, walaupun tidak kerap tular video yang terlampau merbahaya seperti di Amerika Syarikat – masih terdapat kandungan yang boleh mengelirukan orang ramai atau yang membuatkan pengguna menjadi kurang berkemahiran dalam berfikir secara lebih logik. Disebabkan itu TikTok cakna terhadap kepentingan ibu-bapa dalam memantau aktiviti anak, serta menteri meminta TikTok untuk lebih proaktif dalam pemantauan kandungan yang disebarkan.

Apa-apa pun, tidak kira aplikasi media sosial mana yang anda ingin gunakan – penggunaan secara berlebihan memang akan mengundang kepada rasa ketagihan dan perasaan yang kehidupan harian ini wajib mengakses media sosial dan kandungan digital. Oleh yang demikian, sentiasalah berhati-hati dan kerap gunakan sistem perlindungan dan keselamatan terbina dalam peranti untuk mengurangkan lagi obsesi diri terhadap sesuatu aplikasi.