Seorang remaja perempuan, Nurul Dania Balqis Stimat, 16, yang mempunyai masalah pembelajaran, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu selepas kali terakhir dilihat berada di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Sentul, Seberang Jertih, Terengganu.
Ibunya, Noor Hayuni Mohd Noor, 42, yang menetap di Kuala Lumpur kerana bekerja, menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan anak ketiganya daripada tujuh beradik itu.
Menurut Noor Hayuni, anaknya dipercayai keluar dari rumah antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi, ketika semua ahli keluarga sedang tidur.
“Kak Chik, pulanglah ke rumah. Kami semua risau keselamatan kamu,” luah Noor Hayuni yang mengesyaki sedikit selisih faham antara Dania dan adik lelakinya mungkin menjadi punca dia keluar rumah secara tiba-tiba.
Kehilangan Dania hanya disedari pada pagi Jumaat apabila adik perempuannya memasuki bilik Dania untuk mengambil telefon, tetapi mendapati dia tiada di dalam rumah. Ketika itu, datuk dan neneknya juga tidak menyedari ketiadaannya kerana menganggap dia masih berada di bilik.
Difahamkan telefon bimbit anaknya masih aktif tetapi panggilan tidak dijawab, manakala WhatsApp tidak menunjukkan sebarang aktiviti terkini.
Sehingga kini, usaha mencari Dania di sekitar kampung serta kawasan daerah Besut belum membuahkan hasil. Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jertih pada Sabtu lalu, dan keluarga turut meminta bantuan orang ramai.
“Kami mohon jasa baik sesiapa yang ternampak Dania untuk segera menghubungi balai polis berhampiran. Kami sekeluarga sangat risau dan berharap dia dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya penuh harapan.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian
The post ‘Kak Chik, pulanglah ke rumah, kami semua risau’ – Remaja OKU hilang sejak Jumaat lalu appeared first on The Reporter.


